Sunday, October 21, 2007
Harian Metro - 21/10/2007
Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
Bagi dua ibu, Sharifah Marina Syed Hamzah dan Karimah Mamat, Aidilfitri disambut dengan penuh duka apabila anak gadis mereka, Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, dan Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, kedua-duanya mesra dengan panggilan Along, kini meringkuk dalam tahanan di luar negara kerana dituduh cuba menyeludup dadah. Ikut rintihan mereka menyambut lebaran kali ini.
Anak minta bantuan ibu
KUALA LUMPUR: “Mama, Along terseksa sangat... Along tak tahan (ada di sini). Mama, tolonglah Along. Beritahu Duta (Malaysia di Caracas, Venezuela) datanglah lawat Along di sini. Suruhlah peguam datang bantu Along.”
Itu rintihan Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, rakyat Malaysia yang didakwa menyeludup dadah dan ditahan pihak berkuasa Trinidad and Tobago pada 14 Jun lalu ketika menghubungi ibunya, Sharifah Marina Syed Hamzah, 38.
Menurut Sharifah Marina, Wan Lidiawati yang dipanggilnya Along membuat panggilan telefon itu menjelang Ramadan lalu dan mereka hanya sempat berbual beberapa minit dan dalam keadaan tergesa-gesa.
Katanya, Wan Lidiawati yang kini ditahan di Penjara Wanita Trinidad Golden Grove memberitahu, panggilan telefon itu dibuat ketika dia di mahkamah atas ihsan individu yang bersimpati dengan nasib menimpanya.
“Saya tidak dapat mengingati tarikh sebenar Along menghubungi saya, tetapi yang saya ingat hanya keadaannya ketika itu.
“Along menangis dan dalam keadaan ketakutan dia merayu supaya dibantu. Dia turut menceritakan masalah dihadapinya, terutama masalah komunikasi berikutan penggunaan bahasa Inggeris di penjara tempat dia ditahan sangat terhad,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sharifah Marina berkata, ketika mendengar rintihan anaknya, dia hanya mampu menangis kerana buntu memikirkan bagaimana hendak membantu.
Katanya, dia sekadar mampu menyuruh anaknya supaya banyak bersabar dan bertawakal kepada Allah.
“Sebagai ibu, saya tidak akan berputus asa membantu Along. Bagaimanapun, ketika ini saya buntu kerana semua usaha menemui jalan buntu.
“Kalau saya orang senang, saya pergi saja ke negara itu (Trinidad and Tobago), bawa peguam dan selesaikan kesnya. Namun, semua itu tidak mampu saya lakukan,” katanya.
Menurut Sharifah Marina, dia bukan saja buntu bagaimana hendak membantu anaknya, tetapi pada masa sama buntu memikirkan nasib anaknya.
“Saya tidak tahu bagaimana keadaan anak saya, sama ada dia bersalah atau tidak, bila perbicaraan dia dan di mana dia ditahan. Saya bergantung harap kepada Wisma Putra yang berjanji memantau perkembangan anak saya, tetapi ketika bertanya perkara itu, reaksi diterima tidak seperti dijanjikan.
“Jika begitu, saya tidak tahu kepada siapa lagi saya boleh mendapatkan bantuan,” katanya.
Ibu tunggal itu berkata, dalam suasana sambutan Aidilfitri, dia sentiasa dibayangi tangisan dan suara ketakutan anak sulungnya.
Kata Sharifah Marina, dia sentiasa terbayang suasana ceria yang dicetuskan anak sulung daripada enam beradik itu setiap kali menyambut Aidilfitri sebelum ini.
“Ini kali pertama kami sekeluarga menyambut Aidilfitri tanpanya (Along). Memang Aidilfitri tahun ini tiada maknanya bagi kami.
“Dulu, Along penyeri Aidilfitri kami. Dia yang memilih baju raya adiknya, membuat kuih raya dan menyediakan semua persiapan Aidilfitri,” katanya.
Kisah Wan Lidiawati mendapat liputan meluas sebelum ini. Remaja itu ditahan ketika cuba meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tobago Crown Point bersama 2.197 kilogram kokain dalam beg pakaian yang dibawanya.
Jika sabit kesalahan, undang-undang di negara berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan terhadap pengedar dadah.
Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di Caracas, Venezuela dilaporkan akan memantau perkembangan dan bantuan yang diperlukan remaja itu, manakala peguamnya, Monaharan Malayalam mendakwa mangsa dianiaya kerana tidak tahu dadah disembunyikan dalam beg yang dibawanya dan terkejut apabila polis menahan serta membuat pemeriksaan.
Sharifah Marina sebelum ini dilaporkan berkata, dia tidak tahu bagaimana anak sulungnya boleh ada di sana dan hanya tahu dia ditahan polis selepas menerima panggilan telefon daripada mangsa pada 14 Jun bagi memaklumkan penahanannya.
Dia juga percaya anaknya tidak bersalah, terutama selepas menerima surat daripada anaknya yang meminta tolong kerana dia dianiaya.
Antara kandungan surat itu: “Along kena tipu, culik dan aniaya... mama tolong buat report polis.”
Katanya, dalam surat itu anaknya mendakwa ditipu seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Siti.
Pada masa sama, bapa Wan Lidiawati, Abdul Majid Md Haniff, 45, turut yakin anaknya tidak bersalah. Abdul Majid berpisah dengan Sharifah Marina pada 2005.
Wan Lidiawati dilaporkan dibicara pada 21 Ogos lalu, tetapi tiada khabar berita mengenainya selepas itu.
Baju pengubat rindu
KUALA LUMPUR: “Bagi kami sekeluarga, Aidilfitri kali ini tidak membawa apa-apa erti, malah tidak melakukan persiapan sehingga kami tak mahu kuih raya dibawa masuk ke rumah.
“Kami juga sering ternampak kelibat Along sibuk menguruskan persiapan hari raya, selain gembira membawa adiknya berjalan,” kata Karimah Mamat, 46, ibu kepada Raja Munira Raja Iskandar Shah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.
Raja Munira, 22, pelajar tahun dua sebuah kolej swasta dalam jurusan Pengajian Komunikasi, ditahan berseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, 20 Disember lalu, atas tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, enam bulan di negara itu atas tuduhan berkenaan. Begitupun, mangsa mendakwa tidak bersalah kerana diperdaya seorang lelaki Iran dikenali dengan nama ‘Milad' memintanya membawa sebuah beg tanpa mengetahui kandungannya.
‘Milad' tidak mengikut Raja Munira ke Jepun, sebaliknya hanya menghantar rakannya menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Yang lebih membimbangkan Karimah, Raja Munira menghadapi masalah kesihatan, selain terlalu tertekan sehingga terpaksa bergantung kepada pil tidur untuk melelapkan mata.
Disebabkan itu, berat badan anak sulungnya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut mulai gugur kesan pengambilan pil tidur berkenaan.
Karimah berkata, sejak Raja Munira yang dipanggilnya Along ditahan 20 Disember lalu, dia langsung tidak berpeluang melihat wajah anaknya, apatah lagi berbual dengannya yang kini di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.
“Kami sangat bimbangkan kesihatan Along. Selain mudah muntah darah kesan kemalangan lima tahun lalu, berat badannya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut gugur kesan pil tidur yang diambil,” katanya.
Karimah berkata, sebagai ibu, dia tidak terdaya menanggung kesedihan dan kerinduan yang teramat sangat, malah tidak sabar untuk menemuinya.
“Sejak Along ditahan, kami sekeluarga sangat sedih, saya sukar melelapkan mata atau menjamah makanan, manakala anak bongsu saya, Raja Daniel yang paling manja dan rapat dengan Along selalu bertanya bila Along balik.
“Dia kerap demam kerana teringatkan Along, malah bila nampak kapal terbang di udara, dia akan kata along sudah balik.
“Saya berharap satu hari nanti dapat berjumpa Along, sejak ditahan kami tak pernah jumpa kerana kos untuk ke sana sangat tinggi, apatah lagi saya tidak bekerja,” katanya sambil menitiskan air mata.
Menurut Karimah yang tinggal di Sungai Buluh, dekat sini, untuk menghilangkan rindu, keluarganya kerap berutus surat hampir setiap hari, selain menghidu pakaian yang digunakan Along yang tidak dibasuh sehingga ke hari ini sehari sebelum dia ke Jepun.
Lebih menyayat hati, Raja Munira melepaskan kerinduan dengan Daniel, 3, melalui cara melihat kesan tapak tangan adiknya yang dilekap di atas kertas.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari kami menerima surat along sebanyak lima muka surat dan selepas itu, adik-beradiknya akan membalas. Di dalamnya, Along melukis gambar adik, selain memberitahu keadaan di sana.
“Kata Along, dia sangat bosan kerana duduk di dalam bilik tahanan bersama seorang tahanan rakyat Jepun. Dia bercakap dengan dinding dan kertas yang diberi untuk menulis surat.
“Saya sangat sedih apabila Along beritahu hendak surah Yasin, al-Quran dan baju kurung putih untuk digunakan tidur malam. Begitupun, kami kirim baju kurung berbunga,” katanya.
Menceritakan aktiviti Raja Munira sepanjang bulan puasa, Karimah berkata, Along berjaya khatam al-Quran, namun dia sedih dan terkilan apabila anak sulungnya terpaksa bersahur dan berbuka sendirian.
“Along berbuka dengan sedikit nasi yang diberi dan nasi itu diambil sedikit lalu digumpal dan disimpan di dalam baju untuk bersahur. Sepanjang hari, dia membaca al-Quran, surah Yasin serta menulis surat, itu rutin hariannya,” katanya.
Mengenai sambutan hari raya baru-baru ini, Karimah berkata, ia tidak membawa apa-apa erti selepas ketiadaan along kerana anaknya adalah orang paling sibuk menjelang hari lebaran.
“Pada hari raya, Along suka masak roti jala dan kari kerana itu makanan kegemarannya, malah melalui surat yang dikirim, dia teringin sangat menjamah makanan itu.
“Selain itu, Along suka nasi dagang, hari raya memang ini menu yang mesti ada, namun semuanya tidak bermakna tahun ini kerana ketiadaannya,” katanya.
Ditanya adakah Raja Munira terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, Karimah berkata, anaknya tidak akan berbuat demikian, malah dia kenal siapa anaknya.
“Saya kenal anak saya, dia diperdaya lelaki Iran itu, memang saya tak sangka begini jadinya. Along anak yang baik, malah dia cemerlang dalam akademik dan rapat dengan keluarga.
“Dia bukan suka bersosial, malah bila tiada kuliah, dia akan duduk di rumah atau keluar dengan adik-beradiknya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai lelaki Iran itu, Karimah berkata, Along mengenali Milad hampir setahun setengah, malah mereka sekeluarga pernah bertemu lelaki berkenaan.
“Milad menuntut di sebuah universiti di sini, sambil itu dia menjalankan perniagaan kereta sewa untuk pelajar. Along mengenalinya melalui kereta sewa, malah dia sering menghantar kereta sewa ke rumah kami apabila diperlukan.
“Dia yang menjanjikan Along pekerjaan di Jepun dan beria-ia membawa Along ke sana, malah beg pakaiannya juga dibelikan.
“Pada mulanya sukar untuk saya izinkan, tetapi melihatkan Along bersungguh-sungguh dan dia sudah ambil cuti satu semester untuk bekerja, saya mengalah.
“Selepas kejadian itu, Milad ada di sini dan kini dipercayai di Indonesia. Dia terlepas, tetapi anak saya masih ditahan di sana,” katanya sedih.
Ibu kepada lima cahaya mata itu meminta kerajaan Malaysia membantu membebaskan Raja Munira.
Sementara itu, peguam bela yang diupah keluarga gadis malang itu, Rosal Azimin Ahmad, berkata pihaknya akan ke Jepun, November ini, untuk membuat rayuan ke atas hukuman yang dijatuhkan kepada Raja Munira.
Katanya, peluang rayuan itu ada kerana dalam perbicaraan sebelum ini, ada bukti tertentu tidak dimasukkan, selain Raja Munira mendakwa diminta mengaku salah bagi memudahkan kes itu.
“Dalam perbicaraan itu, Raja Munira dinasihatkan peguam belanya di Jepun, Sato untuk mengaku bersalah jika ingin mendapat hukuman ringan, tetapi ada bukti lain tidak dimasukkan.
“Jadi, pertengahan November ini saya akan ke sana bersama beberapa bukti untuk membuat rayuan,” katanya.
Sehubungan itu, Karimah memohon sumbangan rakyat Malaysia supaya dia bersama peguam belanya dapat ke Jepun untuk membuat rayuan kes anaknya di Mahkamah Tinggi Jepun.
“Dianggarkan kos keseluruhannya antara RM200,000 ke RM300,000 dan kami hanya ada tidak sampai sebulan lagi untuk mengumpul wang ini kerana ia dijangka diadakan pada 15 November ini.
“Selain itu, setiap bulan kami mengirimkan RM300 untuk Along membeli keperluan diri sepanjang di sana,” kata Karimah.
Justeru, Karimah memohon supaya ada pihak sudi membantu dan sumbangan boleh dibuat sama ada menghubungi pejabat Rosal di 03-21645555, 03-21641557 atau akaun Ambank, 066-201-200537-9.
Labels: Harian Metro