Monday, October 8, 2007

Waspada benarkan anak ke luar negara

Utusan Malaysia - 08/10/2007

Oleh JAAFAR AHMAD

KOTA TINGGI 7 Okt. – Ibu bapa diingatkan berhati-hati terhadap keselamatan anak gadis mereka yang hendak ke luar negara bersama rakan bagi mengelakkan terbabit dalam kesalahan jenayah di negara yang dikunjungi.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ini kerana terdapat ramai wanita dari negara ini yang ditahan pihak berkuasa kerana melanggar undang-undang negara terbabit.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui anak-anak gadis mereka terbabit dalam jenayah ketika di luar negara bersama teman atau rakan.

‘‘Ibu bapa perlu mengikuti perkembangan anak-anak dan menasihatkan mereka agar berhati-hati jika hendak keluar negara bagi mengelakkan dianiaya pihak tertentu.

‘‘Wisma Putra cuba membantu tetapi jika didapati bersalah oleh proses undang-undang maka susah bagi kerajaan membantu mereka,” katanya di sini semalam.

Syed Hamid berkata, ramai di antara rakyat negara ini yang ditahan di luar negara mendakwa mereka dianiaya tetapi setelah disiasat, mereka didapati melanggar undang-undang negara berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang, jika sesuatu barang kes seperti dadah berada pada diri seseorang, maka ia dianggap miliknya.

‘‘Jadi penting kita berhati-hati bagi mengelak dianiaya,” katanya.

Dalam kes terbaru, pelajar kolej, Raja Munira Raja Idris Shah, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah di Tokyo, Jepun pada 2006.

0 Comments:

Post a Comment