Monday, December 31, 2007

Dadah: Tingkatkan pemeriksaan bagasi KLIA

Utusan Malaysia - 31/12/2007

SAYA terpanggil untuk berkongsi kegusaran tentang nasib yang menimpa wanita Malaysia seperti Raja Munirah Raja Iskandar dan Umi Azlim Mohd. Lazim yang diperdaya rakyat asing untuk membawa dadah ke luar negara sehingga tertangkap dan meringkuk di penjara.

Difahamkan puluhan lagi kes yang serupa melibatkan warga muda kita di seluruh dunia yang secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara.

Yang mendukacitakan sebahagian besar kes berkenaan adalah kerana terpedaya oleh janji manis rakyat asing yang baru dikenali.

Saya bertambah risau tentang senario ini memandangkan anak saya sendiri akan melanjutkan pelajaran ke Jepun awal tahun depan.

Saya tertanya-tanya sejauh manakah sistem pengimbas bagasi di KLIA berkesan mengimbas bagasi penumpang untuk mengesan sebarang benda asing yang mungkin tersorok tanpa pengetahuan tuan punya bagasi berkenaan.

Sekiranya sistem pengimbas kita dapat mengesan barangan asing dalam bagasi sebelum mereka berlepas ke luar negara, sudah tentu kes-kes ini lebih mudah disiasat dan diselesaikan.

Saya cadangkan semua bagasi penumpang ke luar negara diimbas dan diperiksa rapi supaya tidak ada kes terlepas sehingga tertangkap di luar negara.

Ini dapat mengelak anak-anak muda kita tertangkap di negara asing atas kesalahan yang mereka tidak lakukan.

Secara langsung ini dapat juga menyelamatkan nama baik negara agar tidak dianggap sebagai pusat pengedaran dadah ke negara luar.

Pertingkatkan sistem di Malaysia untuk menyelamatkan rakyat Malaysia!

– BAPA RISAU,

Petaling Jaya.

0 Comments:

Post a Comment