Tuesday, December 11, 2007

Gadis jangan mudah terjebak tawaran

Berita Harian - 11/12/2007

Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno Malaysia

BETAPA mudah gadis tempatan terjebak dalam kes penyeludupan dadah antarabangsa. Hanya dengan ditaburkan janji manis, mereka terus ‘cair' dan terpedaya sehingga akhirnya menjadi mangsa.

Maka terpapar di akhbar laporan mengenai gadis kita diperdaya, rata-ratanya masih muda, ditipu dan dijerat dalam kancah pengedaran dadah. Ia cukup membimbangkan kita.

Baru-baru ini seorang gadis dari Sarawak, Irene Manggi, 22, dikatakan menjadi mangsa dan sindiket sama yang memperdaya Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Pasir Puteh, Kelantan, sebelum ini dikatakan terbabit berdasarkan taktik yang digunakan, menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan di luar negara dan ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu serta dijatuhi hukuman mati.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar sendiri mengakui memang wujud sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini, terutama wanita.

Pada pihak kerajaan pula, seperti diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan sukar membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah, kerana sama seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing.

Mendengar rayuan keluarga mangsa yang memohon bantuan apabila si mangsa sudah terjebak memanglah kita simpati, tetapi dari segi undang-undang kita harus menghormati peraturan di setiap negara, kerana di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Justeru, dalam apa juga keadaan kita kena beringat sebelum terkena.

Dalam menangani kes sebegini, diri sendiri yang kena lebih beringat. Jangan mudah terpedaya dengan apa juga kemewahan yang dijanjikan terutama jika membabitkan pekerjaan di luar negara.

Jangan cepat gelap mata terhadap apa juga janji manis yang ditaburkan. Sindiket yang memperalatkan rakyat tempatan, terutama wanita untuk mengedar darah ini sanggup menggunakan pelbagai helah dan taktik, termasuk menawarkan kerja bergaji lumayan.

Kebanyakan mangsa yang terjerat dengan taktik licik pedagang dadah antarabangsa dikatakan berusia 19 hingga 42 tahun, termasuk sebahagian daripadanya pelajar universiti.

Lebih perit siasatan polis mendapati kegiatan penyeludupan dadah itu didalangi beberapa lelaki warga asing yang masuk ke negara ini sama ada sebagai pelajar atau menggunakan pas lawatan sosial kononnya untuk melancong.

Irene yang kini ditahan di Brazil, Umi Azlim yang dijatuhi hukuman mati di China dan seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, dipenjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun, adalah antara yang paling terkini dilaporkan daripada lebih 30 kes membabitkan wanita tempatan yang dilaporkan setakat ini.

Majoritinya ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah kebanyakannya ke Amerika Latin, Australia, China serta Trinidad & Tobago.

Pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengatakan antara punca yang menyebabkan pelajar tempatan terjebak dengan jerat sindiket berkenaan ialah bersembang dalam internet, berkawan rapat dengan rakyat asing, terpikat dengan janji pekerjaan, hubungan intim dengan warga asing, terpengaruh dengan janji kemewahan, melancong ke luar negara, kurang pendedahan kepada media massa dan tidak peka dengan undang-undang berkaitan dadah.

Majoriti mangsa datang daripada keluarga berpendapatan sederhana dan inginkan kemewahan serta terpengaruh dengan janji pasangan warga asing itu. Pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dijadikan sasaran oleh ejen sindiket kerana mereka adalah golongan yang banyak terdedah dengan internet serta mudah didekati menerusi talian dan boleh berbahasa Inggeris selain berpelajaran.

Trend menjadikan gadis IPT sebagai alat untuk menyeludup barang terlarang dari Malaysia ke luar negara atau sebaliknya ini memerlukan perhatian dan tindakan bersepadu semua pihak.

Penerangan daripada pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) ke semua IPT perlu diperhebatkan lagi. Ibu bapa juga kena mainkan peranan dengan sentiasa mengingatkan anak supaya tidak mudah terjebak dan paling penting diri sendiri yang empunya badan, jangan terlalu cepat gelap mata dan mudah sangat diperdaya.

Harus diingat, setiap negara mempunyai undang-undang sendiri. Kita mesti menghormati kedaulatan undang-undang negara itu. Begitu juga sebaliknya. Jadi, apabila gadis dan wanita tempatan ditangkap di luar negara atas kesalahan dadah, pihak berkuasa negara ini tidak boleh sesuka hati mencampuri urusan undang-undang negara berkenaan kerana mereka mempunyai kedaulatan sendiri.

Kepada wanita dan gadis di luar sana janganlah mudah terpedaya dengan tawaran melancong ke luar negara secara percuma, selain tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan pulangan lumayan. Begitu juga bila mencari kawan menerusi internet.

Lebih baik kita berprasangka dan kaji dengan mendalam sesuatu tawaran yang diterima. Jangan tamak dan cepat mahu kaya cara mudah. Jangan mudah percaya pada orang asing hingga sanggup menyerahkan segala-galanya demi cinta, selain mahu menikmati kemewahan dengan mudah.

Sayangi diri anda dan jangan biarkan diri anda diperalatkan. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

0 Comments:

Post a Comment