Saturday, December 1, 2007

mStar Online - 01/12/2007

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Raja Munirah Raja Iskandar, pelajar Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun di Jepun kerana menyeludup dadah jenis syabu Disember tahun lepas, percaya anaknya telah ditipu oleh seorang lelaki Iran.

Karimah Mamat, 46, berkata anaknya diperdaya lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Milad yang menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di syarikatnya yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.

"Anak saya ada memperkenalkan Milad dan dia juga ada datang ke rumah beberapa kali, bila tengok dia nampak baik. Kami juga ada menyewa kereta dia beberapa kali dan segala urusan pemergian Munirah ke Jepun pun dia yang uruskan sebab saya manalah ada duit," katanya ketika ditemui di sini.

Rayuan Raja Munirah, 22, akan didengar di Mahkamah Tinggi Jepun Selasa ini.

Karimah berkata sehari sebelum Raja Munirah ke Jepun, dikatakan untuk menghadiri temuduga kerja, Milad datang ke rumah dan menyuruh Raja Munirah yang pada awalnya membawa beg besar ditukar kepada beg lebih kecil, dan Milad bersetuju meminjamkan begnya pada masa itu.

"Saya yakin anak saya ditipu. Saya kenal anak saya sepanjang dia menuntut di kolej setiap kali cuti dia akan menghabiskan masa di rumah bersama adik-adik, dia bukan seorang gadis yang suka berparti atau sosial," katanya.

Munirah, pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta di sini kini menjalani hukuman penjara di pusat tahanan Kosuke, Tokyo, selepas mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Dis tahun lepas.

Bagaimanapun Munirah mendakwa dia membuat pengakuan itu setelah dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah bagi mendapat hukuman ringan.

Menurut Karimah, beliau merestui pemergian Raja Munirah ke Jepun kerana hasrat anaknya semata-mata untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.

"Memang berat hati nak bagi dia pergi tapi bila mengenangkan kami amat memerlukan duit pada masa itu untuk jelaskan tunggakan rumah dan kereta dan lain-lain bil, saya izinkan juga dia pergi," katanya kepada Bernama.

Keadaan itu membuatkan Munirah mengambil keputusan untuk berhenti sementara pengajiannya memandangkan kos pengajian yang tinggi selain untuk memberi ruang kepada empat lagi adiknya meneruskan persekolahan.

Munirah merupakan anak sulung daripada lima beradik iaitu Raja Nazrin Shah, 18; Raja Maizurah, 15; Raja Ridzuan Shah, 10; dan Raja Daniel Shah, 3.

Karimah berkata keluarganya tidak begitu menyambut Hari Raya Puasa kerana selama ini Raja Munirah yang melakukan semua persiapan pakaian raya adik-adiknya, menyediakan kuih-muih dan menghias rumah.

Sikap Munirah yang disenangi ramai membuatkan salah seorang rakannya sanggup menangguhkan majlis perkahwinannya dan menggunakan wang untuk majlis itu bagi membantu keluarga Munirah.

Seorang lagi rakan yang hanya dikenali sebagai Aishah sering membantu Karimah dalam menguruskan hal surat-menyurat.

Hampir setiap hari sebelum ke kolej, Aishah singgah di rumah Karimah untuk melihat jika ada bungkusan atau surat untuk dihantar kepada Munirah. BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment