Friday, December 21, 2007

Kewujudan Milad mampu bebaskan Raja Munirah

Utusan Malaysia - 21/12/2007

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Peguam Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, dengan bantuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kedutaan Iran dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan cuba membuktikan kewujudan kenalan anak guamnya, Milad di Mahkamah Agung di Jepun pada April depan.

Menurut Rosal Azimin Ahmad, kewujudan lelaki warga Iran itu amat penting kerana ia merupakan bukti utama yang akan digunakan dalam rayuan untuk membebaskan gadis tersebut daripada hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Beliau percaya, Raja Munirah dianiaya Milad yang mempergunakan gadis tersebut untuk menyeludup dadah sintetik ke negara itu tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, peluang untuk Raja Munirah bebas daripada hukuman penjara amat cerah sekiranya kewujudan pemuda Iran itu dapat dibuktikan selain disokong dengan bukti lain seperti rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Raja Munirah dan Milad sebelum gadis itu ditahan.

‘‘Semua bukti kewujudan Milad telah diserahkan kepada pihak polis ketika diadakan perbincangan yang turut disertai wakil Kedutaan Iran dan MCMC di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin lalu.

‘‘Polis akan cuba mengesan pemuda tersebut bagi menguatkan lagi proses pembelaan kami di Mahkamah Agung di Jepun pada April depan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rosal Azimin memberitahu, pihak Kedutaan Iran turut berharap agar Milad dapat dikesan dan ditangkap secepat mungkin sekali gus membebaskan Raja Munirah dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dianggotainya.

Perkenalan antara Raja Munirah dan Milad bermula kira-kira setahun lalu sebaik sahaja dia menamatkan pengajian Ijazah Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta manakala Milad menuntut di sebuah kolej di Cyberjaya.

Selepas mengenalinya selama setahun melalui seorang rakan perempuannya, lelaki itu menawarkan jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) di Jepun dengan gaji hampir RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Raja Munirah dikehendaki ke Tokyo untuk menghadiri temu duga jawatan tersebut tanpa ditemani Milad.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah ditahan apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam begnya.

Beg itu dibeli oleh Milad untuk mengisi pakaian musim sejuk Raja Munirah dan ia hanya diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus sebelum pesawat berlepas.

Sebaik sahaja ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, Raja Munirah cuba menghubungi telefon bimbit Milad tetapi gagal.

Lelaki Iran itu dipercayai sudah meninggalkan Malaysia akhir tahun lalu dan dipercayai berada di Indonesia.

Peguam Jepun yang disediakan oleh kerajaan negara itu menasihatkan Raja Munirah supaya mengaku salah bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun, apabila dia membuat pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan.

Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan tetapi mengurangkan 100 hari hukuman penjara.

Notis rayuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara itu turut difailkan di Mahkamah Agung Jepun pada 6 Disember lalu untuk membebaskan Raja Munirah daripada hukuman tersebut.

0 Comments:

Post a Comment