Wednesday, January 23, 2008
Utusan Malaysia - 23/01/2008
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan polis supaya kegiatan memperalat rakyat negara ini sebagai penghantar 'serbuk emas' atau dadah jenis kokain ke negara lain dapat dikesan di peringkat awal lagi.
Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, antara pendekatannya ialah melakukan pemeriksaan rapi atau menahan individu yang disyaki oleh polis menjadi mangsa penganiayaan sindiket pengedaran dadah sebelum mereka sempat ke luar negara.
''Imigresen tidak dapat memberi bantuan yang lebih besar dalam kes ini kerana kejadian berlaku di luar negara.
''Tetapi, sekiranya polis meminta kami (Imigresen) memeriksa atau menahan mana-mana pihak dipercayai terlibat dalam hal tersebut, kami akan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 20 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan bekas pemain dram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau Ringgo, 42, yang juga seorang pelukis dan komposer lagu ditahan kerana salah sebuah beg yang dibawanya mengandungi dadah kokain seberat 4.6 kilogram.
Ekoran itu, dia ditahan di sebuah lokap di Caracas sebelum dipindahkan ke Penjara El Rodeo.
Dalam perbualan telefon dengan keluarganya yang tinggal di sebuah flat di ibu negara sejurus penahanannya, Ringgo mendakwa, dia tidak bersalah sebaliknya dianiaya seorang lelaki yang menyuruhnya membawa beg itu yang didakwa sebagai gold dust (serbuk emas).
Sebelum ini, Raja Munirah Raja Iskandar, 23, dihukum penjara tujuh tahun sebulan oleh mahkamah di Jepun selepas mengaku bersalah cuba menyeludup beberapa peket syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.
Pelajar jurusan sebaran am di sebuah kolej swasta itu bagaimanapun mendakwa dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.
Dakwanya, pemergiannya ke sana adalah untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun dan dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.
Dalam pada itu, Ishak berkata, Imigresen sememangnya memeriksa setiap barang yang dibawa oleh rakyat Malaysia sebelum mereka berlepas keluar negara.
Namun, katanya, jabatan itu tidak mampu menghalang mangsa daripada diperalat sebagai penghantar dadah kerana bahan itu diperoleh mangsa di luar negara.
''Sekiranya dadah itu dibawa keluar dari sini, sudah pasti kami dapat mengesannya sebelum mangsa sempat ke luar negara," jelasnya.
Labels: Utusan Malaysia