Saturday, January 26, 2008

Wanita tempatan sasaran pengedar dadah antarabangsa

Utusan Malaysia - 25/01/2008

Oleh: RASHIDAH ABD. RAHIM

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Seorang peguam percaya modus operandi (MO) sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang memerangkap hampir 30 rakyat Malaysia di luar negara adalah sama.

Peguam Rosal Azimin Ahmad berkata, fakta itu berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes Raja Munirah Raja Iskandar, 23, bekas penuntut kolej swasta di Cyberjaya yang dipenjarakan di Jepun atas kesalahan mengedar dadah di negara tersebut.

Beliau berkata, MO yang digunakan hampir sama iaitu wanita muda dan berpendidikan tinggi sebagai sasaran.

Beliau menambah, jika dilihat latar belakang akademik Raja Munirah dan beberapa wanita yang ditahan di Venezuela adalah sama iaitu penuntut atau lulusan universiti.

‘‘Secara peribadi, MO yang digunakan untuk memerangkap rakyat Malaysia sama tapi cuma guna pendekatan yang berbeza.

‘‘Kemungkinan sindiket yang terlibat dalam memerangkap rakyat Malaysia juga adalah dari kumpulan yang sama, ''katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Raja Munirah yang terbang ke Tokyo untuk menghadiri temuduga di sana pada 20 Disember lalu ditahan di Lapangan Terbang Narita kerana beg kulitnya dikesan membawa 690.80 gram dadah jenis syabu.

Beg itu adalah pemberian pemuda Iran yang menuntut di Cyberjaya sebagai persediaan untuk menghadiri temuduga tersebut.

Namun setelah mengaku bersalah, mahkamah di Jepun menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun sebulan ke atas Raja Munirah, yang kini ditempatkan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Sementara itu Rosal memberitahu, seperti kes pemain drum kumpulan Fotograf, Sham Ahmad dan dua lagi wanita yang dipenjarakan di Venezuela atas dakwaan cuba mengedar dadah, ahli keluarga terbabit perlu mendapat khidmat guaman dari Malaysia.

Ini kerana, kata beliau, sistem perundangan Venezuela hampir sama dengan Malaysia iaitu jika pembelaan dilakukan dengan bukti yang kukuh, peluang untuk rakyat Malaysia bebas dari perangkap sindiket itu adalah cerah.

Sham Ahmad atau Ringgo yang kini dipenjarakan di Venezuela kerana ditahan setelah satu begnya mengandungi serbuk emas (kokain) ketika hendak berlepas dari negara itu pada 25 November.

Dua lagi wanita Malaysia yang dikenali sebagai Nurul dan Ija iaitu penuntut di negara ini juga dikatakan dipenjarakan di Venezuela atas kesalahan yang sama.

Mereka ini dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa sebagai strategi untuk membawa keluar dadah dari Venezuela ke negara-negara lain.

2 Comments:

  1. Fauzi HBP 89 said...
    Kita wajib ambil berat dan harus berhati hati dengan puak puak penjenayah licik ini dan jangan mudah percaya dengan segala muslihat dan tawaran manis, biar kita niaga kecil kecil dulu, buat apa duit banyak kalau hati sakit. pesanan ikhlas dari fauzi ahmad
    Samuel Goh Kim Eng said...
    In their darkest hours of need
    We pray that their earnest prayers
    Will touch heaven and earth indeed
    To be restored to society as normal players

    (C) Samuel Goh Kim Eng -270208
    http://MotivationInMotion.blogspot.com
    http://msi.Rocky101.com
    Wed. 27th Feb. 2008.

Post a Comment