Saturday, December 8, 2007

Pantau anak elak terjerat sindiket dadah

Berita Harian - 08/12/2007

SEPANJANG tahun ini, lebih 30 gadis dan wanita tempatan ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah, kebanyakannya di Amerika Latin, Australia, China, Jepun serta Trinidad dan Tobago. Terbaru ialah Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, yang dikatakan menjadi mangsa ejen pengedaran dadah antarabangsa yang mempergunakan gadis tempatan sebagai pembawa dadah, seperti apa yang didakwa berlaku ke atas dua wanita Malaysia di Jepun dan China baru-baru ini. Irine menghadapi kesalahan mengedar dadah jenis kokain di Brazil.

Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu 19 Januari lalu dan dijatuh hukuman mati. Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini dipenjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama. Walaupun bersimpati dengan mereka dan ibu bapa yang merayu kerajaan membantu atau campur tangan, pendirian kerajaan dalam hal ini amat jelas. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sukar bagi kerajaan membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah. Seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing. Hakikatnya, kita ada undang-undang berkaitan dadah yang sama berat dengan negara lain dan ada risiko hukuman mati. Tentu kita masih ingat kes beberapa rakyat asing termasuk rakyat Australia yang mati di tali gantung di Malaysia sebelum ini atas kesalahan mengedar dadah sehingga pada satu ketika merenggangkan hubungan dua hala, tetapi akhirnya, pihak asing terpaksa akur undang-undang negara kita. Dalam kes yang dihadapi rakyat Malaysia di Jepun, China dan Brazil, kita cuma berharap perbicaraan dibuat mengikut prinsip keadilan.

Perangkaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menunjukkan beberapa wanita tempatan terpedaya dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk membawa dadah ke beberapa negara dan ditahan pihak berkuasa negara berkenaan dan sebahagian besarnya adalah penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA). JSJN yang risau dengan perkembangan itu mula merangka siri ceramah ke seluruh IPTA bermula Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini, bagi mendedahkan modus operandi sindiket berkenaan kepada penuntut, khususnya wanita, supaya tidak termasuk jerat yang amat berbahaya itu. Siasatan polis mendapati antara punca penuntut tempatan terjebak jerat sindiket berkenaan ialah bersembang di internet, berkawan dengan rakyat asing, terpikat dengan janji pekerjaan, hubungan intim dengan warga asing, terpengaruh janji kemewahan, melancong ke luar negara, kurang pendedahan kepada media massa dan tidak peka dengan undang-undang berkaitan dadah.

Banyak juga kes bermula dengan sesi sembang internet yang kemudian membuahkan cinta antara gadis dengan lelaki asing yang kebanyakannya datang sebagai pelajar. Kita berharap ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap anak mereka terutama dari segi pergerakan dan pergaulan. Ibu bapa tidak harus mempercayai 100 peratus apa yang dinyatakan anak mereka, jika ada sesuatu yang menimbulkan syak seperti pergi ke luar negara bersama rakan sebaya. Ibu bapa di kampung pula perlu lebih kerap mengambil tahu kehidupan anak mereka di bandar sama ada yang bekerja atau bersekolah. Dengan cara itu, mereka boleh mengetahui dengan siapa anak mereka berkawan, sekali gus dapat mengesan jika ada sesuatu di luar kebiasaan.

Friday, December 7, 2007

Majlis Peguam bela Umi Azlim, Munirah

Berita Harian - 07/12/2007

Oleh Amirullah Andi Nur

Bantuan khidmat guaman di China, Jepun diminta

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam akan membantu dua rakyat negara ini yang sedang ditahan di China dan Jepun, termasuk seorang sudah dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah di negara berkenaan baru-baru ini.

Naib Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata pihaknya akan menghubungi secepat mungkin rakan firma guaman mereka di dua negara terbabit bagi membantu Umi Azlim Mohamad Lazim dan Raja Munirah Raja Iskandar.

Katanya, keputusan itu diambil selaras dengan objektif persatuan itu untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, khususnya rakyat negara ini sama ada di dalam atau luar negara.

“Majlis Peguam akan membantu kedua-dua rakyat kita ini (Umi Azlim dan Raja Munirah) mengikut mana yang boleh dan sesuai, khususnya dari segi menyediakan khidmat guaman,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Umi Azlim, 24, dari Pasir Puteh, Kelantan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou, China atas kesalahan menyeludup 2,983 gram heroin pada 15 Mei lalu.

Dia yang ditahan atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu pada 19 Januari lalu, diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

Raja Munirah, 22, seorang pelajar swasta pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo, Jepun selepas disyaki membawa masuk 690 gram syabu pada tahun lalu.

Mahkamah Tinggi negara itu pada 4 Disember lalu menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan atas kesalahan berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kedua-dua keluarga wanita terbabit memohon bantuan untuk membebaskan mereka.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas isu membabitkan Umi Azlim dan Raja Munirah, berkata kerajaan sukar membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sama seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, setakat ini pihaknya masih belum dihubungi kedua-dua keluarga wanita terbabit bagi mendapatkan bantuan.

“Kita berharap keluarga kedua-dua wanita ini dapat menghubungi pejabat Majlis Peguam di talian 03-20313003, sama ada saya atau Rajan Devaraj bagi membolehkan urusan lanjut dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang ketika mengulas perkara itu, berkata pihaknya sedia membantu keluarga kedua-dua wanita terbabit.

Beliau berkata, setakat ini keluarga Umi Azlim dan Raja Munirah masih belum menghubungi pihaknya bagi memohon sebarang bantuan.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, kejadian membabitkan kedua-dua wanita terbabit seharusnya menjadi teladan kepada golongan muda di negara ini.

Harapan berkecai di Brazil

Harian Metro - 07/12/2007

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

KUALA LUMPUR: Taktik menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dijadikan 'modal' sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk memerangkap seorang lagi gadis negara ini menjadi pembawa dadah di luar negara.

Sindiket menawarkan pekerjaan bergaji lumayan kepada wanita berkenaan untuk bekerja di luar negara.

Mereka turut menggunakan ejen kasanova untuk 'membeli cinta' daripada gadis tempatan di negara ini, termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sebelum diperdaya dengan cinta palsu.

Gadis terbabit ditawarkan kerja atau percutian eksklusif ke luar negara sebelum diminta membawa bungkusan mengandungi dadah.

Dalam kes terbaru itu, Irene Manggi, 22, dari Kuching, Sarawak, ditahan polis Sao Paolo, Brazil, kerana kesalahan membawa dadah.

Kakak mangsa, Lina Anak Manggi, mendakwa adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia.

"Ceritanya sama iaitu ditipu atau dianiaya kawan sendiri yang tanpa pengetahuannya menjadi ejen kepada sindiket dadah antarabangsa.

"Adik saya dan seorang lagi sepupu ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong. Entah bagaimana dengan begitu mudah adik saya terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit," katanya dalam e-mel, semalam.

Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui melalui sepupunya yang berjaya melepaskan diri.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu pada Julai lalu.

"Kami berjumpa seorang wakil rakyat untuk memohon bantuan. Namun, hingga kini tiada berita yang menggembirakan dan segalanya hampa.

"Pihak kedutaan Malaysia di Sao Paolo memaklumkan adik saya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.

"Kalau diikutkan hati, kami ingin ke Sao Paolo untuk melawat adik. Namun, apakan daya, kami tidak mempunyai wang, apatah lagi untuk mengupah peguam bagi membela adik," katanya yang mengharapkan bantuan kerajaan membantu keluarganya dari segi guaman dan kos untuk ke sana.

Menurut Lina, dia inginkan keadilan untuk adiknya yang menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Brazil ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai penahanan wanita berkenaan.

"Kami mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra," kata seorang pegawai.

Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut kes itu seperti tarikh penahanan dan pendakwaan di mahkamah serta meminta merujuk kepada Wisma Putra.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pula baru-baru ini mendedahkan terdapat 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Akhbar melaporkan seorang gadis dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

Perlu RM20,000

Harian Metro - 07/12/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

KUALA LUMPUR: Keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah yang ditahan bersabit kes dadah di Tokyo, Jepun, tahun lalu, memohon bantuan dan sumbangan kewangan bagi menampung kos guaman bagi prosedur rayuan terakhir kes pelajar itu dalam tempoh 10 hari lagi.

Bapa wanita itu, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata keluarganya memerlukan sumbangan RM20,000 bagi membiayai kos guaman berikutan mereka kehabisan simpanan.

"Simpanan kami sudah habis untuk membayar kos guaman dan membiayai kos sampingan lain berkaitan kes anak saya sepanjang dia ditahan. Saya amat menghargai bantuan orang ramai.

"Peguam Jepun mengenakan caj tambahan disebabkan rayuan ini dipanjangkan kepada Mahkamah Agung pula. Dia juga menggunakan khidmat dua peguam lagi untuk membantunya," katanya.

Menurutnya, bagi perbicaraan rayuan kali ini, peguam terbabit akan mengkaji semula bukti yang ada selain menemuramah semula anaknya bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kes itu.

Raja Iskandar yang juga bekas pelajar Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Seremban berharap sesiapa yang sudi memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat milik isterinya, Karimah Mamat, 2205 9122 2126 atau menghubunginya di talian 017-2672610.

Raja Munirah, 22, (gambar) pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta kini menjalani hukuman penjara di Pusat Tahanan Kosuge di Jepun selepas didakwa cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu.

Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama 'Milad' yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

Berita Harian - 07/12/2007

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

Irine Manggi kena berkas polis Brazil atas tuduhan edar kokain

KUALA LUMPUR: Seorang lagi wanita tempatan kini dalam tahanan pihak berkuasa luar negara atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain di Brazil.

Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, Sarawak, dikatakan menjadi mangsa ejen pengedaran dadah antarabangsa yang mempergunakan gadis tempatan sebagai pembawa dadah, sama seperti apa yang didakwa berlaku ke atas dua wanita Malaysia di Jepun dan China.

Dia kini ditahan polis Sao Paolo dan menunggu nasibnya yang akan ditentukan mahkamah negara itu.

Pihak Kedutaan Malaysia di Brazil yang dihubungi Berita Harian malam tadi, mengesahkan penahanan itu.

“Kita mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra,” kata seorang pegawai kedutaan berkenaan.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran kes itu seperti tarikh sebenar ditahan dan didakwa di mahkamah dan meminta merujuk kepada Wisma Putra.

Pegawai Wisma Putra di sini yang dihubungi juga tidak dapat memberikan butiran sama.

Sementara itu, kakak mangsa, Lina berkata, adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 2007).

Lina mendakwa, adiknya ditipu atau dianiaya rakan sendiri yang menjadi ejen kepada satu sindiket dadah antarabangsa.

“Adik saya dan seorang lagi sepupunya ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong sempena TMM 2007.

“Entah bagaimana dengan begitu mudahnya, adik saya terpedaya dengan taktik sindiket itu. Saya yakin sindiket yang terbabit adalah dari kumpulan sama,” katanya dalam satu e-mel kepada TV3.

Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui Julai lalu, melalui sepupu mereka yang berjaya melepaskan diri.

Beliau berkata, pihak Kedutaan Malaysia di Brazil memaklumkan adiknya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.

Katanya, beliau bersama sepupunya yang berjaya melepaskan diri membuat satu laporan polis mengenai kes itu tetapi tiada tindakan susulan dibuat pihak berkenaan, walaupun nama, alamat dan maklumat orang yang terbabit sebagai ejen.

“Saya memohon bantuan dari Kerajaan Malaysia agar membantu kami sekeluarga dari segi guaman dan kos untuk melawat adik kami di Brazil.

“Yang kami inginkan hanyalah pembelaan atau keadilan untuk adik kami dan mangsa yang senasib dengannya,” katanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum ini mendedahkan ada 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

Thursday, December 6, 2007

MyKMU.net - 06/12/2007

Keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah, rakyat Malaysia yang akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Jepun, memohon bantuan dan sumbangan kewangan bagi menampung kos guaman bagi prosedur rayuan dalam masa sepuluh hari lagi.

Menurut bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, bagi rayuan terakhir ini keluarganya memerlukan RM 20, 000.00 bagi kos guaman di sana.

Keluarganya telah kehabisan simpanan setelah menampung kos guaman sebelum ini.

Sehubungan itu, Raja Iskandar berharap agar sesiapa yang sudi memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bank milik isterinya:

Bank : Bank Rakyat
Nama : Karimah Mamat
No Akaun : 2205 9122 2126

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui talian telefon bernombor 0172672610 (Raja Iskandar)

Mykmu.Net berharap mereka yang ingin menyumbang dapat menyalurkan sumbangan seberapa segera kerana proses rayuan terakhir akan bermula dalam masa sepuluh hari lagi. Banyak kos guaman yang perlu ditampung oleh keluarga ini.

Raja Munirah merupakan pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta kini menjalani hukuman penjara di pusat tahanan di Jepun selepas mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.

Dia bagaimanapun mendakwa membuat pengakuan itu setelah dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah bagi mendapat hukuman ringan.

Raja Munirah mendakwa beliau diperangkap oleh seolah lelaki Iran bernama Milad yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

Menurut Peguamnya Rosal Azimin Ahmad, mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.

Rosal Azimin dilaporkan berkata mahkamah tidak menerima keterangan laporan forensik siber, iaitu laporan data SMS, bagi mengetepikan semua mesej SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa oleh Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya.

Mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber tidak mencukupi selain meragui kesahihan laporan data SMS itu.

Rosal Azimin berkata beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari ini.

Harian Metro - 06/12/2007

KUALA LUMPUR: “Raja Munirah tidak mahu kami susah hati dengan perasaan sedihnya, sebab itu dia tidak kelihatan terkejut atau menunjukkan sebarang emosi pada kebanyakan masa sepanjang perbicaraan itu, semalam (kelmarin).

“Kami sebelum ini sudah menasihatkannya bersedia menerima apa jua keputusan rayuan kerana ada memberitahunya supaya tidak menaruh harapan tinggi dalam rayuan itu kerana tidak mahu dia kecewa,” kata bapa Raja Munirah, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48.

Raja Iskandar Shah mengulas reaksi anaknya ketika perbicaraan rayuan di Mahkamah Tinggi Tokyo, kelmarin yang menolak rayuan Raja Munirah dan hanya mengurangkan hukumannya selama 100 hari.

Sebelum ini lagi Raja Munirah sudah dimaklumkan peluang rayuannya di mahkamah itu tidak begitu tinggi berbanding rayuan seterusnya di Mahkamah Agung, nanti.

Katanya, dalam setiap surat yang dihantar mereka sekeluarga kepada Raja Munirah di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, sepanjang hampir setahun dia berada di Jepun, mereka sentiasa menasihatkan anaknya tabah dan bersabar menghadapi sebarang kemungkinan.

“Walaupun harapan Raja Munira untuk dibebaskan menggunung seperti dinyatakannya dalam ratusan surat dihantar, anak saya sebenarnya pasrah dengan keputusan berkenaan menyebabkan dia sudah lali dengan situasi genting seperti itu,” katanya.

Raja Iskandar juga menafikan dakwaan sesetengah pihak, termasuk laman blog di Internet yang mengatakan pemergian Raja Munirah ke Jepun sebelum ditahan tahun lalu adalah kerana keluarganya kesempitan wang.

“Cerita itu tidak benar kerana Raja Munirah tidak mempunyai masalah kewangan dan ketika itu saya masih mampu menyara keluarga kerana pendapatan saya sebagai pengarah projek di Sudan mencukupi.

“Malah, Raja Munirah juga mendapat biasiswa penuh daripada kolejnya dan turut dilantik menjadi duta kolej berkenaan selain aktif dalam kerja amal,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri pada mulanya berat melepaskan Raja Munirah ke Jepun berikutan itulah kali pertama anaknya ke luar negara berseorangan.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa akur permintaan Raja Munirah selepas anaknya bersungguh-sungguh mahu menimba pengalaman bekerja di sebuah agensi pelancongan di Jepun, tanpa mengetahui dia sebenarnya diperdaya lelaki Iran bernama Milad.

Bagi menjejaki Milad, Raja Iskandar berkata, dia akan meminta bantuan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan polis kerana mahu membuktikan bahawa Milad bukan individu yang direka keluarganya sebagai alasan Raja Munirah ditahan, sebaliknya lelaki terbabit memang menganiaya anaknya.

Pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan di Pusat Tahanan Kosuge, kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo.