Saturday, December 8, 2007
Berita Harian - 08/12/2007
SEPANJANG tahun ini, lebih 30 gadis dan wanita tempatan ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah, kebanyakannya di Amerika Latin, Australia, China, Jepun serta Trinidad dan Tobago. Terbaru ialah Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, yang dikatakan menjadi mangsa ejen pengedaran dadah antarabangsa yang mempergunakan gadis tempatan sebagai pembawa dadah, seperti apa yang didakwa berlaku ke atas dua wanita Malaysia di Jepun dan China baru-baru ini. Irine menghadapi kesalahan mengedar dadah jenis kokain di Brazil.
Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu 19 Januari lalu dan dijatuh hukuman mati. Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini dipenjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama. Walaupun bersimpati dengan mereka dan ibu bapa yang merayu kerajaan membantu atau campur tangan, pendirian kerajaan dalam hal ini amat jelas. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sukar bagi kerajaan membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah. Seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing. Hakikatnya, kita ada undang-undang berkaitan dadah yang sama berat dengan negara lain dan ada risiko hukuman mati. Tentu kita masih ingat kes beberapa rakyat asing termasuk rakyat Australia yang mati di tali gantung di Malaysia sebelum ini atas kesalahan mengedar dadah sehingga pada satu ketika merenggangkan hubungan dua hala, tetapi akhirnya, pihak asing terpaksa akur undang-undang negara kita. Dalam kes yang dihadapi rakyat Malaysia di Jepun, China dan Brazil, kita cuma berharap perbicaraan dibuat mengikut prinsip keadilan.
Perangkaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menunjukkan beberapa wanita tempatan terpedaya dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk membawa dadah ke beberapa negara dan ditahan pihak berkuasa negara berkenaan dan sebahagian besarnya adalah penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA). JSJN yang risau dengan perkembangan itu mula merangka siri ceramah ke seluruh IPTA bermula Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini, bagi mendedahkan modus operandi sindiket berkenaan kepada penuntut, khususnya wanita, supaya tidak termasuk jerat yang amat berbahaya itu. Siasatan polis mendapati antara punca penuntut tempatan terjebak jerat sindiket berkenaan ialah bersembang di internet, berkawan dengan rakyat asing, terpikat dengan janji pekerjaan, hubungan intim dengan warga asing, terpengaruh janji kemewahan, melancong ke luar negara, kurang pendedahan kepada media massa dan tidak peka dengan undang-undang berkaitan dadah.
Banyak juga kes bermula dengan sesi sembang internet yang kemudian membuahkan cinta antara gadis dengan lelaki asing yang kebanyakannya datang sebagai pelajar. Kita berharap ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap anak mereka terutama dari segi pergerakan dan pergaulan. Ibu bapa tidak harus mempercayai 100 peratus apa yang dinyatakan anak mereka, jika ada sesuatu yang menimbulkan syak seperti pergi ke luar negara bersama rakan sebaya. Ibu bapa di kampung pula perlu lebih kerap mengambil tahu kehidupan anak mereka di bandar sama ada yang bekerja atau bersekolah. Dengan cara itu, mereka boleh mengetahui dengan siapa anak mereka berkawan, sekali gus dapat mengesan jika ada sesuatu di luar kebiasaan.
Labels: Berita Harian