Friday, December 7, 2007
Harian Metro - 07/12/2007
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
KUALA LUMPUR: Taktik menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dijadikan 'modal' sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk memerangkap seorang lagi gadis negara ini menjadi pembawa dadah di luar negara.
Sindiket menawarkan pekerjaan bergaji lumayan kepada wanita berkenaan untuk bekerja di luar negara.
Mereka turut menggunakan ejen kasanova untuk 'membeli cinta' daripada gadis tempatan di negara ini, termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sebelum diperdaya dengan cinta palsu.
Gadis terbabit ditawarkan kerja atau percutian eksklusif ke luar negara sebelum diminta membawa bungkusan mengandungi dadah.
Dalam kes terbaru itu, Irene Manggi, 22, dari Kuching, Sarawak, ditahan polis Sao Paolo, Brazil, kerana kesalahan membawa dadah.
Kakak mangsa, Lina Anak Manggi, mendakwa adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia.
"Ceritanya sama iaitu ditipu atau dianiaya kawan sendiri yang tanpa pengetahuannya menjadi ejen kepada sindiket dadah antarabangsa.
"Adik saya dan seorang lagi sepupu ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong. Entah bagaimana dengan begitu mudah adik saya terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit," katanya dalam e-mel, semalam.
Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui melalui sepupunya yang berjaya melepaskan diri.
Dia kemudian membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu pada Julai lalu.
"Kami berjumpa seorang wakil rakyat untuk memohon bantuan. Namun, hingga kini tiada berita yang menggembirakan dan segalanya hampa.
"Pihak kedutaan Malaysia di Sao Paolo memaklumkan adik saya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.
"Kalau diikutkan hati, kami ingin ke Sao Paolo untuk melawat adik. Namun, apakan daya, kami tidak mempunyai wang, apatah lagi untuk mengupah peguam bagi membela adik," katanya yang mengharapkan bantuan kerajaan membantu keluarganya dari segi guaman dan kos untuk ke sana.
Menurut Lina, dia inginkan keadilan untuk adiknya yang menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Brazil ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai penahanan wanita berkenaan.
"Kami mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra," kata seorang pegawai.
Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut kes itu seperti tarikh penahanan dan pendakwaan di mahkamah serta meminta merujuk kepada Wisma Putra.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pula baru-baru ini mendedahkan terdapat 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.
Akhbar melaporkan seorang gadis dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.
Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.
Labels: Harian Metro