Wednesday, October 3, 2007

Berhati-hati tipu muslihat warga asing

Utusan Malaysia - 03/10/2007

Pendapat

RAKYAT Malaysia bukan hanya dikejutkan penglibatan warga asing dalam kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, tetapi tindakan warga asing yang berjaya memperdayakan gadis tempatan dalam penyeludupan dadah ke luar negara.

Kelicikan warga asing ini sekiranya tidak dipantau, khususnya menggunakan tiket untuk melancong ke sini, boleh mengembangkan anasir-anasir yang tidak sihat, yang akhirnya akan menyusahkan orang ramai yang tidak berdosa.

Kesilapan langkah yang kurang cermat ini boleh ‘menyumbatkan' seseorang itu ke dalam penjara negara luar yang bukan hanya menyusahkan dirinya, bahkan kaum keluarga, di saat-saat umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan dan akan menyusul sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak beberapa lama lagi.

Kita bersimpati dengan rintihan Sarimah Karimah, ibu kepada Raja Munira Raja Iskandar Shah tentang kejadian yang menimpa anaknya di penjara Jepun. Beliau seolah-olah mahu pihak-pihak tertentu, khususnya kedutaan kita di sana membantunya dalam kes anaknya itu.

Bayangkan di saat-saat umat Islam melakukan ibadah puasa dan bersukaria menjelang Hari Raya Aidilfitri, Raja Munira pula meringkuk di dalam penjara. Modus operandi warga asing ini hampir sama dengan yang pernah didedahkan melalui media-media tempatan.

Terdahulu dari ini, kita diuar-uarkan bagaimana sindiket pelacuran antarabangsa memperdayakan rakyat tempatan yang berakhir dengan adanya gadis-gadis tempatan menjadi pelacur kontrak dan buruh paksa antarabangsa.

Dalam hal ini, Raja Munira, seorang pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur telah diperdayakan oleh lelaki berbangsa Iran yang dikenali sebagai Milad dan menjanjikan pekerjaan sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di salah sebuah syarikat korporat di Jepun.

Setelah tiba di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, Raja Munira terperangkap sewaktu pemeriksaan kastam yang mendapati beg bagasi lelaki berkenaan yang dibawanya itu mempunyai beberapa peket dadah sintetik jenis syabu.

Apa yang menyedihkan, Raja Munira didapati bersalah oleh pihak berkuasa di sana dan dihukum penjara selama tujuh tahun empat bulan, satu tempoh yang agak lama.

Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah berlakunya salah faham antara Raja Munira dengan hakim kes itu di Jepun.

Raja Munira dinasihatkan oleh peguam belanya di Jepun supaya mengaku bersalah untuk dipertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

Kes ini menjadi bertambah sulit apabila Raja Munira sendiri tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Jepun.

Kita diuar-uarkan dengan tipu muslihat dalam Internet, memenangi loteri antarabangsa yang wang kemenangannya itu berjumlah berjuta-juta ringgit. Ada juga yang terperdaya dengan skim cepat kaya dan sanggup melabur dalam internet tanpa usul periksa.

Manakala ada seorang ibu tunggal yang terperdaya berbelas-belas ribu ringgit kerana menganggotai skim cepat kaya.

Apakah kita tidak pernah mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi dalam kehidupan ini?

Segalanya bermula dari dalam diri sendiri.

Sekiranya kita mengambil langkah berhati-hati dan tidak terburu-buru mengejar impian kita sendiri, sudah tentu kejadian seperti itu dapat dihindari dan tidaklah mendatangkan kesulitan kepada banyak pihak.

– ISMAIL HASHIM,

Seremban, Negeri Sembilan.

0 Comments:

Post a Comment