Saturday, October 6, 2007

Kes rayuan Raja Munira ditangguh

Utusan Malaysia - 06/10/2007

Oleh Norazlita Mohd. Sies

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Mahkamah Tinggi Tokyo telah menangguhkan 15 November depan untuk mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas pelajar kolej swasta, Raja Munira Raja Iskandar, 22, yang kini sedang menjalani hukuman penjara setelah mengaku salah terhadap tuduhan cuba menyeludup syabu ke Jepun.

“Raja Munira bersyukur apabila mendengar kes rayuannya ditangguhkan, ‘' kata peguamnya, Rosal Azimin Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

“Mahkamah Tinggi Tokyo telah menetapkan 15 November depan untuk mendengar rayuan Raja Munira berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya,” kata Rosal Azimin.

Raja Munira kini sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan atas dakwaan cuba menyeludup beberapa paket syabu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Peguam berkenaan berkata, pelajar jurusan Komunikasi Massa itu telah melantik dua peguam tempatan negara tersebut yang dikenali sebagai Nishiguchi dan Harada untuk mengendalikan rayuannya.

“Ketika saya bertemu dengan Raja Munira di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuke, dia nampak gembira kerana berjaya memohon penangguhan rayuannya itu.

“Raja Munira juga tidak lupa memohon agar semua pihak mendoakan kejayaannya dalam rayuan tersebut. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap kesnya”, kata Rosal Azimin lagi.

Dalam prosiding rayuan kelak, bukti baru melibatkan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Raja Munira dengan seorang lelaki Iran akan dikemukakan kepada mahkamah, kata Rosal Azimin.

Menurut peguam itu, meskipun bukti melibatkan SMS pernah dimaklumkan oleh Raja Munira kepada peguam belanya (yang terdahulu) di Jepun bernama Sato, namun ia bukan sahaja tidak mendapat maklum balas yang positif malahan tidak langsung dikemukakan kepada mahkamah.

Apatah lagi, menurut Rosal Azimin, Raja Munira mendakwa Sato malah menasihatkannya supaya mengaku bersalah supaya kes menjadi lebih mudah kerana mendapat diskaun dalam tempoh hukuman penjara selama enam bulan.

0 Comments:

Post a Comment