Monday, October 1, 2007

Ibu menangis terkenang anak di penjara Jepun

Utusan Malaysia - 01/10/2007

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Bagi seorang ibu, Sarimah Karimah, 46, terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan tangisan kerana terlalu sedih mengenangkan anak kesayangannya, Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, dihukum penjara di Jepun.

Raja Munira kini sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun, enam bulan di negara itu atas tuduhan cuba menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.

Sarimah berkata, suasana Hari Raya Aidilfitri itu tidak akan meriah seperti dulu kerana ini merupakan kali pertama Raja Munira tidak dapat bersama.

‘‘Adik-adik sangat rindu padanya terutama sekali adik bongsunya, Raja Daniel Shah yang berusia tiga tahun selalu bertanya mengenainya.

‘‘Ini kerana kebiasaannya, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, dia (Raja Munira) tidak pernah lupa untuk membawa adik-adiknya membeli baju raya,'' katanya sambil menangis mengenangkan anaknya itu.

Sarimah berkata, walaupun terpaksa menjalani hukuman penjara yang lama, dia sangat berharap Raja Munira dapat pulang ke Malaysia walaupun terpaksa menjalani hukuman.

Ibunya berharap pihak polis serta pihak Kedutaan Malaysia di Jepun dapat membantu dalam kes ini, sekurang-kurangnya bagi meringankan hukuman anaknya itu kerana dia yakin anaknya itu tidak bersalah.

Mangsa mendakwa tidak bersalah kerana dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.

Sementara itu, rakan karib Raja Munira, Aizat Muhamad Jani, 22, berkata, dia sedih melihat keadaan gadis itu semasa melawatnya di Jepun pada Mei lepas.

‘‘Kesihatan Raja Munira semakin teruk kerana tidak dapat menyesuaikan diri di kalangan rakyat Jepun.

‘‘Mukanya nampak cengkung dan rambutnya sudah mula gugur. Saya rasa amat sedih melihat keadaannya itu,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment