Thursday, October 4, 2007

Raja Munira ada bukti SMS diperdaya lelaki Iran

Utusan Malaysia - 04/10/2007

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, mendakwa mempunyai bukti penting berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima daripada seorang lelaki Iran yang memperdaya memintanya membawa sebuah beg melepasi pemeriksaan kastam di lapangan terbang.

Peguam Rosal Azimin Ahmad berkata, bukti itu bagaimanapun tidak dikemukakan ketika dia didakwa di mahkamah di Jepun atas dakwaan cuba menyeludup beberapa peket syabu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Beliau yang dilantik oleh keluarga gadis tersebut berkata, pesanan ringkas yang diterima oleh Raja Munira sebelum hari penangkapannya penting bagi membuktikan dia diperdaya oleh lelaki berkenaan sedangkan dia tidak mengetahui isi beg itu.

Sehubungan itu, Rosal Azimin berkata, SMS tersebut akan dikemukakan melalui peguam bela baru yang dilantik apabila rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar oleh mahkamah negara itu pada Khamis ini.

‘‘Bukti berkenaan menunjukkan Raja Munira menerima banyak SMS daripada lelaki tersebut dan ia dijangka memihak kepada gadis itu dalam rayuannya kelak,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Tokyo hari ini.

Rosal Azimin berlepas ke Tokyo semalam bagi mendapat gambaran sebenar selepas beliau difahamkan wujud salah faham ketika prosiding pendakwaan terhadap Raja Munira berlangsung.

Pelajar kolej swasta itu kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas disabitkan oleh mahkamah negara itu kerana cuba menyeludup beberapa peket syabu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Bagaimanapun, pelajar jurusan Komunikasi Massa itu mendakwa diperdaya oleh lelaki Iran tersebut yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.

Mengulas lanjut, Rosal Azimin berkata, isu mengenai keciciran maklumat penting itu diberitahu sendiri oleh Raja Munira kepadanya ketika ditemui di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuke, semalam.

Menurut beliau, Raja Munira malah mendakwa bukti mengenai SMS itu sudah dimaklumkan kepada peguam belanya di Jepun, Sato tetapi tidak mendapat maklum balas positif.

Rosal Azimin berkata, menurut Raja Munira, Sato malah menasihatkannya supaya mengaku bersalah supaya kes menjadi lebih mudah kerana mendapat potongan hukuman pemenjaraan selama enam bulan.

Peguam itu menyatakan, dakwaan Raja Munira ada benarnya kerana pertemuan dengan Sato selama dua jam semalam bagi membincangkan rayuan terhadap gadis itu menemui ‘jalan buntu'.

Ujar Rosal Azimin, ketika Sato diminta melawan kes itu, peguam dari Jepun itu enggan memberi kerjasama dan seolah-olah menyalahkan jurubahasa yang didakwanya silap ketika melakukan penterjemahan.

Berikutan keengganan Sato dan atas kehendak Raja Munira sendiri, beliau membuat keputusan mencari khidmat peguam bela yang baru bagi mengendalikan rayuan kesnya.

‘‘Kami berjaya mendapatkan khidmat dua peguam bela yang berpengalaman tetapi belum membuat keputusan untuk memilih yang mana satu,'' ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment