Monday, October 1, 2007

Raja Munira dipaksa mengaku salah

Utusan Malaysia - 01/10/2007

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Pelajar kolej swasta, Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, yang dihukum penjara tujuh tahun empat bulan oleh pihak berkuasa Jepun baru-baru ini kerana cubaan menyeludup dadah mendakwa dia diminta mengaku salah bagi memudahkan kes itu.

Peguam bela yang diupah oleh keluarga gadis malang itu, Rosal Azimin Ahmad berkata, pengakuan itu ditulis sendiri oleh Raja Munira dalam satu surat yang dihantar kepada keluarganya.

‘‘Raja Munira mendakwa dia dinasihatkan oleh peguam belanya di Jepun, Sato supaya mengaku bersalah bagi tuduhan tersebut jika ingin mendapat hukuman yang ringan,'' kata Rosal Azimin kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Rosal Azimin, beliau akan berlepas ke Jepun esok untuk mendapat gambaran sebenar dan memahami kes itu dengan lebih teliti.

Katanya, ini kerana dia difahamkan berlaku salah faham antara anak guamnya dengan hakim kes itu.

‘‘Saya rasa hakim itu tidak mendapat gambaran yang sebenarnya kerana mungkin jurubahasa mentafsirkan keterangan Raja Munira dengan tidak jelas.

Diperdaya

‘‘Raja Munira pula tidak faham berbahasa Jepun kerana itu adalah kali pertama dia menjejak kaki ke negara lain,'' katanya.

Rosal Azimin berkata, dia berharap dapat membantu meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atas Raja Munira sebelum dia kembali ke Malaysia pada 4 Oktober ini.

Dalam laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada Rabu lepas, Raja Munira dihukum penjara tujuh tahun enam bulan oleh mahkamah negara itu kerana cuba menyeludup beberapa paket syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Mangsa mendakwa tidak bersalah kerana dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.

Raja Munira, pelajar jurusan Komunikasi Massa itu berhasrat untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun, tetapi bertukar tragedi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula meminta mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan polis mengesan dan menghadapkan lelaki Iran itu ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, katanya, dalam hal ini polis hanya boleh membantu memberkas lelaki Iran itu tetapi mustahil untuk membebaskan mangsa dari penjara di Jepun.

0 Comments:

Post a Comment