Saturday, January 26, 2008
Wanita tempatan sasaran pengedar dadah antarabangsa
2 comments Posted by Raja Munirah Raja Iskandar at 3:41 PMUtusan Malaysia - 25/01/2008
Oleh: RASHIDAH ABD. RAHIM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Seorang peguam percaya modus operandi (MO) sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang memerangkap hampir 30 rakyat Malaysia di luar negara adalah sama.
Peguam Rosal Azimin Ahmad berkata, fakta itu berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes Raja Munirah Raja Iskandar, 23, bekas penuntut kolej swasta di Cyberjaya yang dipenjarakan di Jepun atas kesalahan mengedar dadah di negara tersebut.
Beliau berkata, MO yang digunakan hampir sama iaitu wanita muda dan berpendidikan tinggi sebagai sasaran.
Beliau menambah, jika dilihat latar belakang akademik Raja Munirah dan beberapa wanita yang ditahan di Venezuela adalah sama iaitu penuntut atau lulusan universiti.
‘‘Secara peribadi, MO yang digunakan untuk memerangkap rakyat Malaysia sama tapi cuma guna pendekatan yang berbeza.
‘‘Kemungkinan sindiket yang terlibat dalam memerangkap rakyat Malaysia juga adalah dari kumpulan yang sama, ''katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Raja Munirah yang terbang ke Tokyo untuk menghadiri temuduga di sana pada 20 Disember lalu ditahan di Lapangan Terbang Narita kerana beg kulitnya dikesan membawa 690.80 gram dadah jenis syabu.
Beg itu adalah pemberian pemuda Iran yang menuntut di Cyberjaya sebagai persediaan untuk menghadiri temuduga tersebut.
Namun setelah mengaku bersalah, mahkamah di Jepun menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun sebulan ke atas Raja Munirah, yang kini ditempatkan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.
Sementara itu Rosal memberitahu, seperti kes pemain drum kumpulan Fotograf, Sham Ahmad dan dua lagi wanita yang dipenjarakan di Venezuela atas dakwaan cuba mengedar dadah, ahli keluarga terbabit perlu mendapat khidmat guaman dari Malaysia.
Ini kerana, kata beliau, sistem perundangan Venezuela hampir sama dengan Malaysia iaitu jika pembelaan dilakukan dengan bukti yang kukuh, peluang untuk rakyat Malaysia bebas dari perangkap sindiket itu adalah cerah.
Sham Ahmad atau Ringgo yang kini dipenjarakan di Venezuela kerana ditahan setelah satu begnya mengandungi serbuk emas (kokain) ketika hendak berlepas dari negara itu pada 25 November.
Dua lagi wanita Malaysia yang dikenali sebagai Nurul dan Ija iaitu penuntut di negara ini juga dikatakan dipenjarakan di Venezuela atas kesalahan yang sama.
Mereka ini dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa sebagai strategi untuk membawa keluar dadah dari Venezuela ke negara-negara lain.
Labels: Utusan Malaysia
Wednesday, January 23, 2008
Imigresen akan buru sindiket 'serbuk emas'
0 comments Posted by Raja Munirah Raja Iskandar at 3:47 PMUtusan Malaysia - 23/01/2008
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan polis supaya kegiatan memperalat rakyat negara ini sebagai penghantar 'serbuk emas' atau dadah jenis kokain ke negara lain dapat dikesan di peringkat awal lagi.
Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, antara pendekatannya ialah melakukan pemeriksaan rapi atau menahan individu yang disyaki oleh polis menjadi mangsa penganiayaan sindiket pengedaran dadah sebelum mereka sempat ke luar negara.
''Imigresen tidak dapat memberi bantuan yang lebih besar dalam kes ini kerana kejadian berlaku di luar negara.
''Tetapi, sekiranya polis meminta kami (Imigresen) memeriksa atau menahan mana-mana pihak dipercayai terlibat dalam hal tersebut, kami akan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 20 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan bekas pemain dram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau Ringgo, 42, yang juga seorang pelukis dan komposer lagu ditahan kerana salah sebuah beg yang dibawanya mengandungi dadah kokain seberat 4.6 kilogram.
Ekoran itu, dia ditahan di sebuah lokap di Caracas sebelum dipindahkan ke Penjara El Rodeo.
Dalam perbualan telefon dengan keluarganya yang tinggal di sebuah flat di ibu negara sejurus penahanannya, Ringgo mendakwa, dia tidak bersalah sebaliknya dianiaya seorang lelaki yang menyuruhnya membawa beg itu yang didakwa sebagai gold dust (serbuk emas).
Sebelum ini, Raja Munirah Raja Iskandar, 23, dihukum penjara tujuh tahun sebulan oleh mahkamah di Jepun selepas mengaku bersalah cuba menyeludup beberapa peket syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.
Pelajar jurusan sebaran am di sebuah kolej swasta itu bagaimanapun mendakwa dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.
Dakwanya, pemergiannya ke sana adalah untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun dan dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.
Dalam pada itu, Ishak berkata, Imigresen sememangnya memeriksa setiap barang yang dibawa oleh rakyat Malaysia sebelum mereka berlepas keluar negara.
Namun, katanya, jabatan itu tidak mampu menghalang mangsa daripada diperalat sebagai penghantar dadah kerana bahan itu diperoleh mangsa di luar negara.
''Sekiranya dadah itu dibawa keluar dari sini, sudah pasti kami dapat mengesannya sebelum mangsa sempat ke luar negara," jelasnya.
Labels: Utusan Malaysia
Keluarga Ringgo disaran guna khidmat peguam tempatan
0 comments Posted by Raja Munirah Raja Iskandar at 3:44 PMUtusan Malaysia - 23/01/2008
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Keluarga Sham Ahmad atau Ringgo, 42, dinasihat supaya mendapatkan khidmat peguam negara ini bagi memantau proses perundangan yang dihadapi bekas pemain dram kumpulan Fotograf itu di Caracas, Venezuela.
Pengamal undang-undang, Rosal Azimin Ahmad berkata, perkara itu penting walaupun keluarga Ringgo bercadang mendapatkan khidmat peguam di negara tersebut dengan bayaran hampir RM70,000 kerana pemantauan daripada pihak guaman di sini juga diperlukan.
''Saya telah menghubungi keluarga Ringgo baru-baru ini dan mereka memberitahu akan melantik seorang peguam di sana.
''Bagaimanapun agak penting untuk mereka mendapatkan khidmat guaman dari Malaysia sebagai peguam pemerhati kes yang dihadapi Ringgo di Caracas, Venezuela," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Pada 20 Januari lalu, muka hadapan Utusan Malaysia melaporkan Ringgo, 42, yang juga seorang pelukis dan komposer lagu ditahan kerana salah sebuah beg yang dibawanya mengandungi dadah kokain seberat 4.6 kilogram.
Ekoran itu, dia ditahan di sebuah lokap di Caracas sebelum dipindahkan ke Penjara El Rodeo.
Selain itu, Rosal Azimin yang terlibat dalam kes Raja Munirah Raja Iskandar, 23, yang dihukum penjara tujuh tahun sebulan oleh mahkamah di Jepun berkata, beliau telah menawarkan diri untuk membantu keluarga Ringgo.
Namun, jelasnya, keluarga bekas pemain dram kumpulan Fotograf itu masih belum membuat keputusan berkenaan tawaran tersebut dan akan memberi jawapan kepada beliau dalam minggu ini.
''Mereka lantik saya atau tidak, itu tidak penting tetapi mereka perlu mendapat khidmat peguam dari negara ini," jelasnya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada keluarga Ringgo dan beberapa sumber lain, beliau percaya bekas pemain dram itu tidak bersalah, tetapi dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.
Labels: Utusan Malaysia
Sunday, January 20, 2008
Dadah: Ringgo Fotograf ditahan di penjara Venezuela
0 comments Posted by Raja Munirah Raja Iskandar at 3:50 PMUtusan Malaysia - 20/01/2008
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Pemain dram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ringgo terpaksa meringkuk dalam penjara di Caracas, Venezuela sejak November lalu kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah.
Utusan Malaysia difahamkan, Ringgo, 42, yang juga seorang pelukis dan komposer lagu, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Caracas ketika mahu berlepas pulang ke Malaysia awal November lalu.
Dia bersama seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan kerana salah sebuah beg yang dibawa oleh Ringgo mengandungi dadah kokain seberat 4.6 kilogram. Ekoran itu, dia ditahan di sebuah lokap di Caracas sebelum dipindahkan ke penjara berhampiran manakala rakannya itu dilepaskan.
Pemuzik itu dijadual didakwa di mahkamah tidak lama lagi. Venezuela tidak melaksanakan hukuman mati untuk pengedar dadah tetapi jika sabit kesalahan, Ringgo boleh dipenjara sehingga 15 tahun.
Seorang pengamal undang-undang, Rosal Azimin Ahmad, iaitu peguam Raja Munirah Raja Iskandar yang ditahan di Jepun atas kesalahan dadah, telah menawarkan diri membantu Ringgo.
Sebelum ke Venezuela, Ringgo dikatakan menyertai misi pelancongan di Sepanyol tetapi tidak pulang bersama ahli rombongan itu kerana mengikut penggiat ‘busking' di negara itu.
Dalam perbualan telefon dengan keluarganya yang tinggal di sebuah flat di ibu negara sejurus penahanannya, Ringgo mendakwa dia dianiaya oleh lelaki yang terlepas itu.
Lelaki yang baru dikenalinya di Caracas itu memintanya membawa beg tersebut. Ringgo bersetuju menolong atas semangat rakan senegara.
Rosal Azimin memberitahu, beliau dihubungi keluarga Ringgo malam ini dan menyatakan persetujuannya membantu mereka mengendalikan kes tersebut di Venezuela.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, lima daripada 30 wanita Malaysia yang terlibat dalam kes pengedaran dadah di luar negara ditahan di Venezuela.
Labels: Utusan Malaysia