Wednesday, September 26, 2007

Lagi gadis Malaysia diperdaya bawa dadah

Utusan Malaysia - 26/09/2007

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Hasrat seorang pelajar kolej swasta di sini untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun bertukar menjadi tragedi apabila dia dihukum penjara tujuh tahun empat bulan oleh pihak berkuasa negara tersebut baru-baru ini.

Pelajar perempuan berusia 22 tahun itu dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah Jepun kerana cuba menyeludup beberapa peket dadah sintetik jenis syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Mangsa, Raja Munira Raja Iskandar Shah, pelajar jurusan Komunikasi Massa bagaimanapun mendakwa dia tidak bersalah kerana diperdayakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Gadis itu dipercayai menjadi mangsa penipuan seorang lelaki Iran dikenali sebagai Milad yang mempergunakan Raja Munira untuk menyeludup dadah sintetik ke negara itu tanpa pengetahuannya.

Peguam bela mangsa, Rosal Azimin Ahmad mendakwa, lelaki itu telah memperdaya anak guamnya dengan menawarkan jawatan PRO yang bergaji lumayan di negara tersebut.

Namun, setibanya di lapangan terbang di Tokyo, lelaki Iran tersebut menggesa Raja Munira membawa sebuah beg pakaian semasa ingin melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isi kandungan sebenar beg berkenaan.

Apabila diperiksa, beg itu didapati mengandungi syabu mengakibatkan Raja Munira ditahan manakala lelaki Iran itu telah terlebih dahulu melepasi pemeriksaan kastam dan menghilangkan diri.

0 Comments:

Post a Comment