Thursday, September 27, 2007

Musa minta peguam bela Raja Munira buat laporan

Utusan Malaysia - 27/09/2007

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Polis menyarankan peguam bela Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, yang dihukum penjara tujuh tahun empat bulan oleh pihak berkuasa Jepun baru-baru ini kerana kesalahan cuba menyeludup dadah segera membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, laporan polis akan membolehkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan mangsa bahawa dia ditahan oleh pihak berkuasa negara tersebut akibat diperdaya oleh seorang lelaki Iran untuk menyeludup dadah sintetik ke negara itu tanpa pengetahuannya.

Musa berkata, sekiranya laporan yang diterima daripada peguam itu didapati benar dan mempunyai bukti kukuh, polis akan berusaha mengesan lelaki Iran tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Polis mahu tahu siapa dalang yang menyebabkan mangsa merengkok dalam penjara di luar negara.

“Bagaimanapun, dalam hal ini polis hanya boleh membantu memberkas lelaki Iran itu tetapi mustahil untuk membebaskan mangsa dari penjara di Jepun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Musa, pelajar perempuan berusia 22 tahun yang dijatuhi hukuman tersebut tertakluk kepada undang- undang negara berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan muka hadapan hari ini melaporkan, hasrat seorang pelajar kolej swasta di sini untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun bertukar tragedi apabila dia dihukum penjara tujuh tahun dan empat bulan oleh pihak berkuasa negara tersebut baru-baru ini.

Raja Munira dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah Jepun kerana cuba menyeludup beberapa peket dadah sintetik jenis syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Mangsa yang merupakan seorang pelajar jurusan Komunikasi Massa bagaimanapun mendakwa tidak bersalah kerana dia diperdaya oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.

0 Comments:

Post a Comment