Friday, October 12, 2007

Kos guaman Raja Munira RM300,000

Utusan Malaysia - 12/10/2007

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Keluarga Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos guaman yang dianggarkan berjumlah hampir RM300,000 untuk membolehkan anaknya mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Tokyo, Jepun, bulan depan.

Peguam yang dilantik oleh keluarganya bagi pihak gadis itu, Rosal Azimin Ahmad berkata, sumbangan berkenaan amat kritikal diperolehi dalam tempoh sebulan ini untuk membayar deposit peguam di sana yang akan mengendalikan rayuan tersebut.

Menurut beliau, tanpa deposit itu, harapan Raja Munira amat tipis untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas disabitkan oleh mahkamah Jepun kerana cuba menyeludup beberapa paket syabu.

Rayuan tersebut akan didengar pada 15 November ini.

‘‘Bagi pihak keluarga Raja Munira, saya merayu bantuan orang ramai untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka sekeluarga kerana kos guaman peguam di sana amat tinggi.

‘‘Sepanjang saya berada di Tokyo empat hari, sebanyak RM40,000 sudah dibelanjakan untuk menguruskan khidmat peguam,'' ujarnya pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Sentral di sini hari ini yang turut dihadiri oleh ibu Raja Munira, Karimah Mamat, 46.

Rosal Azimin berlepas ke Tokyo pada 1 Oktober lalu bagi mendapat gambaran sebenar selepas beliau difahamkan wujud salah faham ketika prosiding pendakwaan terhadap Raja Munira berlangsung.

Pelajar kolej swasta itu yang didapati bersalah kerana cuba menyeludup beberapa paket syabu pada 20 Disember tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo mendakwa diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang dikenalinya meminta membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.

Raja Munira mendakwa, peguam terdahulu yang mewakilinya bagaimanapun tidak mengemukakan bukti penting iaitu mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada lelaki Iran tersebut yang boleh mengaitkan penglibatan warga asing itu dalam kegiatan menyeludup syabu.

Mengulas lanjut, Rosal Azimin berkata, beliau optimis kes Raja Munira berdepan dengan perkembangan positif kerana dia diwakili oleh peguam berpengalaman, Harada yang merupakan seorang bekas hakim.

Menurut peguam tersebut, Harada yakin bahawa bukti mengenai SMS itu cukup kukuh untuk memberi harapan baru kepada Raja Munira yang kini ditahan di Pusat Tahanan Tokyo, Kosuge.

Rosal Azimin berkata, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pejabat beliau di talian 03-21645555.

0 Comments:

Post a Comment