Sunday, October 7, 2007

Wanita Malaysia dinasihat hati-hati bila ke luar negara

mSTAR Online - 07/10/2007

KOTA TINGGI: "Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya," itulah nasihat Kementerian Luar kepada rakyat Malaysia terutamanya wanita apabila diminta menolong membawa beg atau bungkusan milik mereka yang tidak dikenali ketika mahu ke luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata ini kerana ramai wanita Malaysia telah ditahan dan dipenjarakan di luar negara kerana beg atau bungkusan yang mereka bawa atas dasar menolong seseorang dikesan mengandungi dadah.

"Bila ke luar negara, perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah menolong bila ada seseorang minta tolong. Jangan terlalu mudah untuk kita mengambil beg mereka sedangkan kita tak tahu isi beg mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di kediaman rasminya di sini, semalam.

Syed Hamid yang juga anggota Parlimen Kota Tinggi berkata, jika seseorang itu didapati bersalah mengikut proses perundangan negara lain, adalah sukar untuk Kementerian Luar memberikan bantuan bagi membebaskan mereka.

Beliau juga meminta ibu bapa dan saudara-mara supaya mengambil tahu tentang kegiatan anak-anak mereka.

Beliau mengulas kejadian seorang wanita Malaysia, Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, yang dihukum penjara tujuh tahun empat bulan oleh mahkamah di Jepun kerana kesalahan cuba menyeludup beberapa paket syabu ke negara itu pada 20 Dis 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Raja Munira yang merupakan seorang pelajar jurusan Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta di ibu negara mendakwa dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang baru dikenalinya.

Syed Hamid berkata, beliau telah mengarahkan Kedutaan Malaysia di Jepun untuk melawat wanita tersebut dan mengumpul maklumat tentang kes itu.

Selain kes terkini yang melibatkan Raja Munira, terdapat juga beberapa kes lain membabitkan wanita Malaysia sebelum ini yang dipenjarakan di luar negara selepas didapati bersalah oleh mahkamah negara terbabit kerana membawa beg atau bungkusan yang mengandungi dadah. BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment