Wednesday, November 28, 2007

Ibu Masih Berharap Munirah Dibebaskan

Bernama - 28/11/2007

Oleh Ayu Dalita Pendek

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Harapan melihat anaknya dibebaskan daripada penjara Jepun, tinggi menggunung dalam sanubari Karimah Mamat, ibu kepada Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang kini menjalani hukuman penjara atas tuduhan mengedar dadah di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Sejak penahanan Raja Munirah pada Disember tahun lepas, Karimah berkata beliau begitu mengharap anak perempuannya dibebaskan.

Gusar anaknya tidak mendapat keadilan sewajarnya di negara asing, Karimah berkata perasannya bagi disentap sembilu apabila mendengar rintihan anak bongsunya Raja Daniel Shah, 3, yang amat mengharapkan kepulangan kakak sulungnya.

"Dia memang rapat dengan Along (Raja Munirah). Namun apalah daya saya kecuali menenangkannya. Jauh di sudut hati, doa dan pengharapan tidak henti-henti dipanjatkan mohon agar Along segera dibebaskan.

"Hanya doa menjadi teman tatkala masyarakat memandang serong terhadap anak saya. Sebagai ibu, saya rela bertukar nyawa asalkan anak dapat kembali ke pangkuan keluarga," katanya ketika ditemui Bernama.

Raja Munirah, yang menanti perbicaraan rayuan kesnya pada 4 Dis di Mahkamah Tinggi Jepun, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan atas tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram.

Raja Munirah, yang mendakwa menjadi mangsa akibat diperdaya, didapati bersalah selepas dadah berkenaan ditemui bersamanya sewaktu ditahan pada 20 Dis tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Meskipun tetap dengan pendirian yang anak perempuannya tidak bersalah sebaliknya menjadi mangsa lelaki tidak bertanggungjawab, Karimah reda dengan suratan takdir di sebalik usaha membebaskan anaknya.

Karimah sukar mengambarkan perasaannya andai kata Mahkamah Tinggi Jepun menolak rayuan anaknya kerana sebelum tiba detik itu beliau akan terus berharap dan berdoa moga impian melihat anaknya pulang menjadi kenyataan.

"Andai kata tiada bantuan kudrat atau kewangan dihulurkan, cukuplah bagi rakyat Malaysia sekadar mendoakan anaknya mendapat keadilan sewajarnya ketika perbicaraan rayuan kesnya kelak," katanya dengan linangan air mata.

"Harapan kami semoga Aidiladha kali ini, lebih bermakna dengan kehadiran Munirah di sisi," katanya, yang tidak dapat turut sama ke Jepun bagi mendengar kes rayuan anaknya memandangkan perbelanjaan yang tinggi.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment