Thursday, November 15, 2007

Nasib Raja Munirah ditentukan hari ini

Utusan Malaysia - 15/11/2007

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Esok adalah hari penentuan sama ada Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo berjaya mengetepikan hukuman ke atasnya itu atau sebaliknya.

Jika rayuan pelajar kolej itu diterima oleh Mahkamah Tinggi Jepun, bermakna dia akan dibebaskan dari hukuman penjara dan boleh pulang ke tanah air untuk bersama keluarganya semula.

Sebaliknya jika rayuannya ditolak, Raja Munirah akan terus merengkok dalam penjara di negara asing untuk beberapa tahun lagi.

Bagaimanapun, peguam bela Raja Munirah serta keluarganya tetap menaruh harapan tinggi gadis itu akan berjaya dalam rayuannya esok.

Namun, harapan sedikit tergugat apabila rekod data khidmat pesanan ringkas (SMS) yang akan diguna bagi menyokong rayuan itu, gagal diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC melalui satu kenyataan akhbar hari ini memberitahu, pihaknya tidak menyimpan sebarang rekod panggilan, kandungan SMS mahupun maklumat masuk SMS pengguna.

Menurut Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, Muhamad Tahir Muhamad Noor, penjelasan itu sudah dimaklum kepada peguam Raja Munirah, Rosal Azimin Ahmad.

“Bagaimanapun, MCMC telah meminta kerjasama Celcom untuk membantu Raja Munirah sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam Rosal Azimin ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan telah dimaklumkan MCMC berhubung perkara itu.

“Saya amat berharap Celcom dapat membekalkan data SMS diperlukan segera,” katanya.

Beliau yang gusar dengan perkembangan itu berkata, data tersebut tetap diperlukan kerana ia bukti utama yang mampu membebaskan Raja Munirah daripada tuduhan menyeludup dadah.

Sebelum ini, Rosal Azimin memberitahu, pihaknya berusaha memperoleh data SMS dari Celcom dan MCMC membabitkan komunikasi Raja Munira dengan seorang lelaki Iran yang dipercayai memperdaya gadis tersebut .

Pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta di sini itu menjalani hukuman penjara di pusat tahanan di Jepun selepas mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.

Dia bagaimanapun mendakwa membuat pengakuan itu setelah dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah bagi mendapat hukuman ringan.

0 Comments:

Post a Comment