Friday, December 21, 2007

Sedarkan belia mengenai bahaya dadah

Utusan Malaysia - 21/12/2007

Oleh MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN

TIGA orang belia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 dan Irene Manggi, 22, sebelum ini tidak dikenali umum tetapi dengan tiba-tiba mendapat perhatian media massa dan pelbagai pihak di negara ini.

Laporan media massa menunjukkan mereka telah menjadi mangsa penipuan sindiket dadah antarabangsa di negara ini kerana diperalatkan untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Tanpa laporan media massa sudah tentu masyarakat tidak mengetahui kegiatan haram itu yang menyebabkan belia kita mati di tali gantung atau dipenjara untuk tempoh yang lama di negara asing.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan dalam tempoh 11 bulan pada tahun ini, 32 belia wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun telah ditahan di beberapa negara atas kesalahan membawa najis dadah.

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara dalam tempoh yang sama ialah 53 orang.

Bilangan yang ditahan itu agak mengejutkan kerana walaupun umum mengetahui bahawa sesiapa sahaja yang terlibat dengan najis dadah bakal membawa padah tetapi masih ada belia wanita yang berani melakukannya.

Perbuatan mereka bukan sahaja boleh memusnahkan diri malah memburukkan imej Malaysia di mata dunia apatah lagi negara ini sangat tegas dalam hal dadah.

Walaupun bilangannya kecil tetapi mereka merupakan modal insan yang berpotensi menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara ini.

Menurut PDRM antara negara yang menjadi destinasi penyeludupan dadah ialah Australia, China, Brazil, Peru, Argentina, Jepun dan Trinidad & Tobago.

Raja Munirah misalnya, ditahan di Tokyo, Jepun, Umi Azlim di Guangzhou, China manakala Irene di Sao Paolo, Brazil kerana dipercayai menyeludup dadah ke negara itu.

Menurut PDRM kegiatan penyeludupan dadah di negara ini didalangi rakyat luar negara yang berselindung dengan visa pelajar yang diperoleh untuk belajar di universiti dan kolej di negara ini.

Sehubungan itu, tindakan PDRM membuat siri ceramah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara sejak Oktober lepas adalah satu langkah positif untuk mencegah pelajar universiti daripada terjebak dengan kegiatan haram dan berbahaya itu.

Tumpuan PDRM kepada institusi itu disebabkan kebanyakan mangsa yang terlibat ialah penuntut universiti awam dan kolej swasta.

Siasatan PDRM menunjukkan antara punca pelajar tempatan terjebak dengan sindiket itu ialah kerana bersembang di Internet, berkawan dengan rakyat asing dan mengadakan hubungan intim dengan warga asing.

Selain itu, mereka terpikat dengan janji pekerjaan, terpengaruh dengan janji kemewahan, dapat melancong ke luar negara, kurangnya pendedahan kepada media massa serta tidak peka dengan undang-undang berkaitan dadah.

Lebih mengejutkan apabila pendedahan Pengarah Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin di media massa baru-baru ini menunjukkan mereka yang terlibat sanggup membohongi ibu bapa mereka kononnya bercuti ke luar negara bagi mengaburi kegiatan menyeludup dadah mereka itu.

Namun, pembohongan mereka terbongkar selepas ditahan pihak berkuasa luar negara kerana menyeludup dadah dan disiarkan oleh media massa tempatan.

Apa yang berlaku itu tentulah menyusahkan dan membebankan ibu bapa dan keluarga khususnya dari segi kewangan. Pastinya mereka amat sedih serta mengalami tekanan emosi akibat perbuatan anak mereka.

Kasihan ibu bapa, sudahlah dibohongi anak, terpaksa pula menghabiskan wang ringgit bagi menyelamatkan anak itu daripada pihak berkuasa negara itu. Malah terpaksa memohon simpati orang ramai bagi membantu anak mereka.

Contohnya, keluarga Raja Munirah telah kehabisan wang bagi menampung kos guaman dan terpaksa memohon sumbangan sebanyak RM20,000 daripada orang ramai bagi membiayai kos guaman bertujuan mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung Jepun pada 14 Disember lepas.

Sementara itu, mujur ada pihak seperti UMNO Bahagian Pasir Puteh dengan sukarela melancarkan Tabung Umi Azlim Mohamed Lazim bagi membantu meringankan beban keluarga gadis itu untuk berurusan di China.

Oleh kerana antara sebab mereka terlibat dengan sindiket itu ialah kerana kurang pendedahan kepada media massa, maka belia yang sentiasa terdedah kepada maklumat daripada media massa harus membantu dengan menyampaikan berita atau menggalakkan rakan lain membaca, menonton dan mendengar berita dari media massa tentang kegiatan haram itu.

Di negara ini, berita boleh diperoleh melalui media seperti surat khabar pelbagai bahasa, televisyen dan radio menerusi pelbagai saluran. Malah Internet juga menyediakan bahan berita secara online yang disediakan oleh media massa.

Pihak media massa yang dilihat sentiasa melaporkan tentang kegiatan itu, harus terus memainkan peranan dengan memfokus dan membongkar kegiatan haram itu supaya belia sedar tentang kesalahan dan hukuman yang bakal diterima.

* Penulis ialah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

0 Comments:

Post a Comment