Tuesday, January 15, 2008

Apabila Sikap Mudah Terperdaya Membawa Padah

Bernama - 15/01/2008

Oleh Jeswan Kaur

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Jangan sekali-kali mudah terperdaya kerana sikap ini akan memakan diri sendiri dan inilah yang menjadi pengajaran kepada tiga wanita Malaysia yang diberkas tahun lepas kerana mengedar dadah di luar negara.

Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, kini menghadapi hukuman penjara tujuh tahun di Jepun kerana mengedar syabu seberat 690 gram.

Mahasiswa komunikasi massa Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya ini diberkas di Lapangan Terbang Tokyo pada 2006 dan mengaku bersalah. Ibu bapa Raja Munirah yang dalam kebingungan turut menghadapi masalah kewangan kerana memerlukan RM20,000 untuk membayar yuran guaman bagi rayuan terhadap hukuman penjara yang dihadapi anak mereka.

Manakala Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Kelantan menghadapi hukuman mati kerana menyeludup 3 kg heroin. Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah ini diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Shantou, China pada 19 Januari. Umi Azlim mendakwa bahawa beliau terpengaruh dengan iklan di Internet yang menawarkan jawatan dengan bayaran lumayan hanya untuk penghantaran barangan.

Dalam kes Irene Manggi, 22, dari Sarawak, beliau didakwa kerana memiliki kokaina di Brazil dan kini meringkuk di penjara Sao Paolo. Ketika di Sepanyol, beliau yang juga ialah pemandu pelancong telah diberi sebuah beg oleh seorang lelaki Nigeria dan sekeping nota memintanya pergi ke Sao Paolo, yang akhirnya beliau berhadapan kesukaran dengan pihak berkuasa.

WANITA MALAYSIA TERTARIK DENGAN PENGHANTARAN DADAH

Ketiga-tiga kes berkenaan bukanlah suatu perkembangan terbaru di Malaysia. Pada 2005, Ruzana Zubir dari Perlis ditangkap kerana menyeludup candu ke Australia. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan ditahan selama 13 bulan sebelum bukti di dalam perbicaraan menunjukkan bahawa beliau adalah mangsa penipuan oleh seorang lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Haj.

Haj memberi Ruzana satu peket yang didakwa mengandungi herba Iran dan meminta beliau menyerahkannya kepada rakannya yang sakit di Sydney.

Oleh kerana mempercayai Haj, yang juga rakan kongsi perniagaan dan seorang rakan, menyebabkan Ruzana berpendapat tidak perlu peket itu diperiksa.

Hasil kerjasama Ruzana, kerajaan Malaysia dapat memberkas Haj yang kini menunggu untuk dibicarakan kerana pengedaran dadah.

Tahun ini sahaja, 19 wanita Malaysia diberkas di Argentina, Brazil, Peru dan China kerana mengedar dadah. Wanita-wanita berkenaan dipercayai menjadi mangsa lelaki Kasanova berumur antara 30 dan 35 tahun yang menaburkan pelbagai hadiah mahal, makan malam mewah dan membeli-belah yang mahal sebelum mengikuti percutian luar negara yang dibayar sepenuhnya.

Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, dua rakyat Iran dan seorang Nigeria telah diupah sebagai Kasanova oleh satu sindiket dadah antarabangsa untuk mempengaruhi wanita Malaysia terjerumus dalam kancah pengedaran dadah di luar negara.

Anggota-anggota sindiket berkenaan memasuki negara ini selepas memperolehi visa sebagai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti tempatan.

Statistik Jabatan Narkotik Bukit Aman menunjukkan bahawa antara destinasi sindiket dadah ialah Australia, China, Brazil, Peru, Argentina, Jepun, Trinidad dan Tobago.

JANGAN AMBIL RISIKO

Setiausaha agung PEMADAM Datuk Kamilia Ibrahim berkata, kedua-dua faktor iaitu mudah terperdaya dan naif mungkin menyebabkan wanita-wanita berkenaan bertindak sebagai "penghantar" dadah.

"Faktor ingin menjadi cepat kaya yang disertai dengan sogokan kemewahan dan kata-kata manis oleh jejaka tampan, wanita-wanita berkenaan tanpa ragu-ragu sanggup menyeludup dadah ke luar negara," Kamilia memberitahu Bernama dalam satu temubual.

Beliau menasihati wanita muda agar tidak mudah terperdaya dengan janji-janji yang ditaburkan oleh Kasanova yang seumpama dan mempertaruhkan nyawa mereka kepada undang-undang sesebuah negara.

"Nampaknya wanita-wanita muda ini mempunyai sikap angkuh, dan percaya dengan mitos bahawa mereka boleh terlepas daripada dibunuh.

"Jangan sekali-kali bersetuju membawa beg sesiapa jua walau untuk apa tujuan sekalipun. Jangan mengambil risiko kerana kesudahannya ia sememangnya berisiko tinggi. Wanita-wanita muda hendaklah menyedari akan kemungkinan risiko daripada tindakan mereka dan mengetepikan untung nasib mereka," kata Kamilia.

Beliau berkata ibu bapa hendaklah berhati-hati dengan tawaran kerja yang memerlukan anak-anak mereka melakukan perjalanan di luar negara.

"Ibu bapa dan anak-anak janganlah terlalu teruja dengan prospek seumpama yang tidak masuk akal."

IMEJ NEGARA TERJEJAS

Kamilia berkata, tiga kes terbaru berkenaan telah menjejaskan imej Malaysia dan beliau bimbang ia mungkin akan terus menerus memburukkan lagi nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak mahu ekoran penglibatan wanita-wanita negara ini sebagai pengedar dadah akan membawa hingga kita semua diperiksa dengan cara yang memalukan di lapangan terbang dan dilayan seperti penjenayah," katanya.

Beliau juga mengutarakan bahawa langkah-langkah keselamatan yang tidak ketat di lapangan terbang telah gagal mengesan bahan yang berbahaya.

"Adalah nyata bahawa pemeriksaan rapi ke atas beg-beg tidak berjalan dengan rapi, kalau tidak masa kan dadah berkenaan boleh dibawa keluar. Apa sudah jadi dengan anjing-anjing pengesan kita Pihak berkuasa hendaklah bertanggungjawab," katanya.

Kamilia berkata, pengumuman hendaklah dilakukan di lapangan-lapangan terbang bagi mengingatkan para penumpang agar menjinjing beg milik sendiri dan bukan kepunyaan orang lain. "Setiap penumpang hendaklah menandatangani borang perisytiharaan agar mereka bertanggungjawab ke atas beg yang dibawa. Secara ini jika berlaku sesuatu perkara, pembawa beg berkenaan akan sedar risiko yang menanti mereka."

AGENSI PELANCONGAN PEKA

Kamilia berkata, PEMADAM telah menulis kepada agensi-agensi pelancongan di negara ini agar mereka menasihati pelanggan masing-masing mengenai risiko membawa beg milik orang asing. "Pihak media juga boleh memainkan peranan dengan mengetengahkan undang-undang yang berbeza di negara-negara di seluruh dunia berhubung penyeludupan dadah," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed enggan memberi sebarang komen apabila ditanya mengenai isu ini.

PERLUNYA BERJAGA-JAGA

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Dr Chiam Heng Keng memberitahu Bernama wanita-wanita berkenaan sudah pasti termakan dengan pelbagai sogokan yang mewah.

"Penjenayah berkenaan mengetahui kelemahan manusia dan mempergunakan dengan sepenuhnya apabila mereka berhadapan dengan seseorang yang terdesak iaitu yang memerlukan wang dan inginkan hidup mewah dan seumpamanya.

"Walaupun kemungkinan terdapat wanita akan jatuh cinta dengan lelaki yang tidak mematuhi undang-undang, namun ia melibatkan jumlah yang kecil. Wanita yang mempunyai keyakinan dan pegangan agama yang teguh tidak akan mudah terjerumus dengan keadaan apabila diugut."

Chiam berkata, secara keseluruhannya ia adalah mengenai nilai seseorang individu itu sendiri, mengenai bagaimana dia melihat pentingnya wang kerana secara intuisi seseorang akan kognisi bahawa terdapat sambutan apabila tawaran itu adalah terlalu bagus.

"Kita mempunyai intuisi untuk mengetahui apabila sesuatu itu terlalu bagus untuk kenyataan. Adalah sukar untuk mempercayai ada pelajar universiti yang cetek akal untuk mengetahui semua itu."

AJAR REMAJA MENGENAI NILAI

Chiam berkata menerusi pendidikan moral, pelajar hendaklah diajar mengenai nilai-nilai, antaranya bahawa wang boleh membawa kebaikan dan keburukan.

"Keselamatan individu juga hendaklah ditekankan. Para ibu bapa hendaklah memainkan peranan dalam mendidik anak masing-masing, mengajar mereka menjadi seorang yang tegas dan tidak takut melakukan sesuatu yang betul."

KAJIAN TERPERINCI DIPERLUKAN

Sementara itu, perunding bebas psikologi Valerie Jaques berkata, persoalan yang masih belum terjawab ialah apakah kekurangan yang terdapat dalam galur perkembangan gadis dan wanita muda hingga membuatkan mereka mudah mempercayai lelaki dan niat mereka.

"Adakah ini berpunca daripada kurangnya sokongan daripada pihak bapa dalam sesebuah keluarga hingga dengan mudah mempercayai sebarang lelaki untuk meraih perhatian Adalah sukar untuk menjelaskannya. Saya fikir satu kajian terperinci mengenai latar belakang dan keadaan yang membawa kepada perkara seumpama adalah diperlukan," katanya kepada Bernama.

Valerie tidak menolak kenyataan bahawa keperluan untuk mendapatkan wang dengan cepat adalah antara sebabnya.

"Ini adalah hasil daripada masyarakat segera hari ini apabila ibu bapa terlalu memenuhi setiap kehendak anak mereka. Biasanya satu lagi keperluan baru akan muncul selepas yang terdahulu dipenuhi," katanya.

Beliau menasihati remaja wanita agar menghentikan sifat hormat dan sentiasa bertegas untuk memeriksa bungkusan yang diberi rakan untuk dibawa ke luar negara.

"Sekiranya rakan anda seorang yang jujur, dia tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menyatakan isi kandungan bungkusan itu kepada anda," katanya.

Di samping itu, remaja hendaklah membaca akhbar dan belajar daripada kes-kes terdahulu seperti kes Ruzana Zubir.

Masalahnya ialah tidak ramai yang berminat untuk mengetahui berita-berita seumpama, jauh sekali hendak membincang atau mengambil iktibar daripadanya. Sebaliknya, kes-kes seumpama sering disensasikan dan dilihat sebagai masalah orang lain, jadi tiada "pengajaran" diperolehi daripadanya.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment