Wednesday, January 23, 2008

Keluarga Ringgo disaran guna khidmat peguam tempatan

Utusan Malaysia - 23/01/2008

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Keluarga Sham Ahmad atau Ringgo, 42, dinasihat supaya mendapatkan khidmat peguam negara ini bagi memantau proses perundangan yang dihadapi bekas pemain dram kumpulan Fotograf itu di Caracas, Venezuela.

Pengamal undang-undang, Rosal Azimin Ahmad berkata, perkara itu penting walaupun keluarga Ringgo bercadang mendapatkan khidmat peguam di negara tersebut dengan bayaran hampir RM70,000 kerana pemantauan daripada pihak guaman di sini juga diperlukan.

''Saya telah menghubungi keluarga Ringgo baru-baru ini dan mereka memberitahu akan melantik seorang peguam di sana.

''Bagaimanapun agak penting untuk mereka mendapatkan khidmat guaman dari Malaysia sebagai peguam pemerhati kes yang dihadapi Ringgo di Caracas, Venezuela," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Pada 20 Januari lalu, muka hadapan Utusan Malaysia melaporkan Ringgo, 42, yang juga seorang pelukis dan komposer lagu ditahan kerana salah sebuah beg yang dibawanya mengandungi dadah kokain seberat 4.6 kilogram.

Ekoran itu, dia ditahan di sebuah lokap di Caracas sebelum dipindahkan ke Penjara El Rodeo.

Selain itu, Rosal Azimin yang terlibat dalam kes Raja Munirah Raja Iskandar, 23, yang dihukum penjara tujuh tahun sebulan oleh mahkamah di Jepun berkata, beliau telah menawarkan diri untuk membantu keluarga Ringgo.

Namun, jelasnya, keluarga bekas pemain dram kumpulan Fotograf itu masih belum membuat keputusan berkenaan tawaran tersebut dan akan memberi jawapan kepada beliau dalam minggu ini.

''Mereka lantik saya atau tidak, itu tidak penting tetapi mereka perlu mendapat khidmat peguam dari negara ini," jelasnya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada keluarga Ringgo dan beberapa sumber lain, beliau percaya bekas pemain dram itu tidak bersalah, tetapi dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.

0 Comments:

Post a Comment