Wednesday, December 5, 2007
Harian Metro - 05/12/2007
Oleh Ahmad Fitri Che Musa
fitrimusa@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Raja Munirah kelihatan tabah dan tenang ketika hakim menolak rayuannya. Dia langsung tidak kelihatan terkejut atau sedih apabila mendengar hukumannya hanya dikurangkan 100 hari,” kata pelajar warga Jepun di Malaysia, Aki Uehara, 28.
Aki yang menghadiri perbicaraan rayuan kes Raja Munirah Raja Iskandar, 22, di Mahkamah Tinggi Tokyo, semalam, berkata Raja Munirah yang duduk di tengah-tengah mahkamah seolah-olah bersedia menerima sebarang keputusan yang menentukan nasibnya.
Malah, dia yang dihubungi dari Tokyo, berkata Raja Munirah, pelajar tahun dua ijazah komunikasi massa di sebuah kolej swasta itu, hanya berdiam diri sepanjang perbicaraan rayuan di hadapan tiga hakim itu.
“Selama hampir setengah jam perbicaraan rayuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang emosi,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Menurutnya, Raja Munirah yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dibawa ke mahkamah oleh anggota polis dengan tangannya digari.
“Perbicaraan rayuan itu tidak mendapat liputan media massa di Tokyo kerana banyak kes membabitkan warga asing dibicarakan di Jepun,” katanya yang pulang ke Tokyo baru-baru ini untuk bercuti.
Aki adalah pelajar peringkat sarjana dalam pengajian muzik di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.
Dia mengetahui kes yang dihadapi Raja Munirah selepas membaca laporan di MyMetro bulan lalu menawarkan diri untuk menyampaikan maklumat perbicaraan rayuan itu kepada wartawan Harian Metro.
Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah yang dipenjara di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, tahun lalu.
Perbicaraan rayuan berkenaan dikendalikan Nishiguchi, seorang peguam dari negara matahari terbit itu.
Peguam Raja Munirah di negara ini, Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi, berkata mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara tujuh tahun tiga bulan.
Menurutnya, mahkamah mempertikaikan laporan forensik siber dikemukakan peguam, termasuk berkaitan data SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa tertuduh sebagai orang yang menganiayainya.
“Mahkamah juga mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihannya,” katanya akan memfailkan rayuan seterusnya melalui peguam di Tokyo kepada Mahkamah Agung dalam tempoh 10 hari.
“Raja Munirah mempunyai peluang lebih baik di Mahkamah Agung kerana mahkamah itu biasanya membuat penelitian lebih terhadap prosedur dan isu undang-undang yang mengambil kira bukti baru yang dikemukakan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta reaksinya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Tokyo, ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 46, berkata, dia sedih apabila mendapat tahu keputusan rayuan anaknya itu.
“Saya seolah-olah tidak percaya kerana walaupun bukti diberikan mencukupi, pihak mahkamah di Jepun masih tidak menerimanya.
“Memang saya sakit hati kerana mereka hanya mengurangkan tempoh hukuman 100 hari. Apapun, saya reda kerana bersedia menerima apa saja keputusan.
“Saya dan keluarga tidak akan berputus asa dan sentiasa berusaha hingga berjaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Buloh, malam tadi.
Walaupun sedih, dia percaya apa yang berlaku ke atas Raja Munirah mempunyai hikmah tersendiri selain bersyukur kerana anaknya masih selamat dan kerap berutus surat dengannya dari penjara.
Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, pula mengatakan dia pasrah dengan keputusan itu dan bertekad membawa kes itu ke Mahkamah Agung di Jepun supaya Raja Munirah dapat diberi pembelaan sewajarnya.
Dia akan menghubungi peguam anaknya di Jepun untuk memintanya memohon lanjutan tempoh memfailkan rayuan kedua itu bagi membolehkan mereka mengumpul bukti yang lebih kukuh.
“Saya akan berbincang dengan peguam di Malaysia dan rakan yang selama ini memberi sokongan kepada saya bagi membincangkan tindakan yang akan diambil selepas ini,” katanya.
Labels: Harian Metro