Sunday, December 2, 2007

Raja Munirah memendam kesengsaraan di penjara Jepun

Utusan Malaysia - 02/12/2007

Oleh: RAHIM LAJIS

“TISU, ” kata Raja Munirah Raja Iskandar Shah apabila ditanya apakah barang yang sangat diperlukannya di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

“Tisu wanita?... Tuala wanita?'' tanya wartawan Mingguan Malaysia kepada model sambilan itu dalam satu pertemuan khas di penjara itu, baru-baru ini.

“Tisu di sini sangat teruk,'' kata lulusan ijazah Komunikasi Massa dari sebuah kolej swasta di Cyberjaya.

Dia tidak mahu meneruskan perbualan mengenai tisu kerana perjumpaan turut dihadiri seorang pegawai penjara. Pelawat dan banduan hanya dibenarkan bertutur dalam bahasa Inggeris atau Jepun.

Jika tisu di situ dianggap tidak sesuai digunakan, bayangkan barangan lain yang terpaksa digunakan. Malah, penjara 10 tingkat itu turut menempatkan banduan lelaki termasuk ketua-ketua kongsi gelap Jepun - Yakuza.

“Saya juga tidak dibenar menggunakan telekung... terpaksa guna baju T untuk tutup kepala ketika solat,'' jelas Raja Munirah yang baru berusia 22 tahun.

Dia mengadu berasa lemah kerana kurang makan sejak ditahan hampir setahun lalu. Kebanyakan makanan yang diberi termasuk daging tidak halal dan tidak boleh meminta makanan gantian.

Episod hitam hidup Raja Munirah bermula apabila pemuda Iran, Milad yang belum setahun dikenalinya melalui seorang rakan perempuan, menawarkannya jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) dengan gaji lumayan dan perlu menghadiri temu duga di Jepun.

Dia dipujuk agar jangan risau untuk ke Tokyo seorang diri kerana ada orang akan menjemputnya di lapangan terbang kelak. Malah soal hotel, makanan dan sebagainya selama dua hari dia di sana akan ditanggung sepenuhnya.

Tambahan pula dua hari sebelum berlepas, Milad yang menuntut di sebuah universiti swasta di Cyberjaya turut membelikan beg besar untuk memuatkan pakaian musim sejuk.

Bagaimanapun, beg itu hanya diserah kepada Raja Munirah untuk berkemas serta-merta pada pukul 8 pagi kerana akan berlepas. Milad membantu membawa beg itu dan memasukkannya sebagai bagasi di kaunter tiket Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Saya tidak suka berkemas tergesa-gesa. Saya hantar SMS kepada Milad minta hantar beg itu malam sebelum berlepas tetapi dia enggan,” jelas Raja Munirah.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah membuka beg untuk diperiksa oleh kastam Jepun.

Disebabkan bimbang ditinggalkan orang yang menunggunya di lapangan terbang, dia meminta kastam Jepun yang berulangkali memeriksa begnya agar mengimbas saja beg itu supaya mereka puas hati.

Sebaik saja beg diimbas, kelihatan imej benda tersorok di ruang antara lapisan dinding dalam dan kulit beg itu. Benda yang tersembunyi itu ialah 690.80 gram dadah jenis syabu.

Raja Munirah ditahan dan peguam Jepun yang disediakan oleh kerajaan negara itu menasihatkannya supaya mengaku salah agar dikenakan hukuman ringan – penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun, apabila dia membuat pengakuan bersalah, mahkamah Tokyo menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan.

“Saya dididik dengan baik oleh ibu bapa termasuk mengenai agama. Saya ada ijazah dan sudah pun mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England. Kenapa perlu jadi pengedar dadah?” kata Raja Munirah.

‘‘Siapa berani mengedar dadah di Malaysia kerana akan dihukum mati?” tambah Raja Munirah yang sejak sekolah rendah lagi sudah memendam cita-cita untuk menjadi seorang peguam.

Dia berharap bukti khidmat pesanan ringkas (SMS) antara dia dengan Milad serta kejujurannya meminta kastam Jepun mengimbas begnya lebih daripada mencukupi untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah, malah dianiaya.

“Orang yang berniat menyeludup tidak akan meminta begnya yang berisi dadah diimbas. Saya tidak tahu sama sekali mengenai dadah yang disorok itu.

“Beg itu dibeli, disimpan dan dibawa oleh Milad sehingga saat dimasukkan sebagai bagasi,” jelas Raja Munirah sambil menambah: “Tolonglah saya. Saya berada dalam kegelapan.”

Pada 4 Disember – lebih kurang 48 jam saja lagi – tiga hakim Mahkamah Tinggi Tokyo akan bersidang untuk mendengar rayuan Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahannya.

Jika bukti SMS dan kejujuran meminta supaya begnya diimbas tidak mendapat pertimbangan mahkamah, ramai akan bersetuju budaya Jepun menepati masa menjadi kurang bermakna jika keputusan yang dibuat tidak tepat.

Sebelum meninggalkan Raja Munirah yang jelas kurang bermaya, kurus, mata cengkung dan tiada lagi air mata untuk menangis, wartawan Mingguan Malaysia membelikannya buah-buahan dalam tin, sardin, biskut dan 1,200 helai tisu saiz 230 milimeter (mm) panjang dan 185mm lebar.

0 Comments:

Post a Comment