Tuesday, December 4, 2007

Umi pula ditahan kes dadah

Utusan Malaysia - 04/12/2007

UMI AZLIM MOHAMAD LAZIM.

PASIR PUTEH 3 Dis – Hampir setahun tanpa khabar akhirnya sebuah keluarga di sini menerima berita buruk mengenai anak perempuan sulung keluarga itu telah ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu, 19 Januari tahun ini.

Lebih memilukan, menerusi sepucuk surat ke Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, dikatakan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.

Ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata, anaknya diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

“Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan telah dijatuhi hukuman mati.

“Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama ‘UG' sebaik tiba di Shantou (China) apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand),'' katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis di sini, hari ini.

Umi Slaia berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk di bagasi anaknya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan telah bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Anas' di ibu negara.

Menurut Umi Slaia, oleh kerana anaknya fasih berbahasa Inggeris dia telah dipilih syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara.

‘Sebelum ini Umi selalu menelefon saya sehinggalah terputus hubungan sejak Januari lalu,'' katanya.

Beliau berkata disebabkan khuatir keselamatan Umi Azlim, Umi Slaia telah ke Jabatan Imigresen Kelantan di sini untuk membantu tetapi telah diminta merujuk kes itu ke Wisma Putra.

“Pegawai Wisma Putra di Putrajaya memberi jaminan untuk cuba mengesan Umi Azlim jika benar berada di luar negara tetapi akhirnya telah dimaklumkan anak saya kini ditahan di China kerana kes dadah,'' katanya sebak.

Umi Slaia percaya anak sulungnya itu tidak bersalah dan telah dianiaya oleh lelaki Nigeria itu berdasarkan kepada keterangan Umi Azlim dan saksi lain dalam surat mahkamah yang dikirimkan ke Wisma Putra itu.

Mengikut keterangan Umi Azlim di mahkamah, dadah jenis heroin itu telah diserahkan kepadanya oleh seorang wanita rakyat China bila tiba di Bangkok dan telah diminta menyerahkan barang berkenaan kepada lelaki Nigeria itu sebaik tiba di Shantou.

“Anak saya tidak akan buat perkara ini dan dia tidak tahu apa-apa jika tidak dianiaya,'' katanya.

Bapanya Mohamad Lazim, 50, seorang bekas tentera yang kini bekerja di bengkel servis Proton di sini berkata Umi Azlim adalah harapan keluarga dan merupakan anak yang baik dan rajin.

“ Saya berharap ada pihak sudi membantu mendapatkan peguam bagi Umi Azlim untuk membuat rayuan itu.

“Saya dan isteri hendak sangat berjumpa Umi Azlim di Penjara Guangzhou tetapi kami orang susah apatah lagi nak dapatkan peguam.

‘'Kami nak dengar sangat apa cerita sebenar yang berlaku dan saya berharap rakyat Malaysia tolonglah kami terutama anak kami sedang berdepan dengan maut,'' kata Mohamad Lazim.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan menyeludup dadah di Jepun.

Beliau kini membuat rayuan terhadap hukuman itu.

– Bernama

0 Comments:

Post a Comment