Monday, December 3, 2007

Wanita Jepun tawar jadi perantara kes Raja Munirah

Utusan Malaysia - 03/12/2007

RAJA Iskandar Shah Raja Abdul Aziz bersama isterinya, Karimah Mamat dan anak-anak mereka, Raja Ridzuan Shah (kiri), Raja Nazrin Shah (tengah) dan Raja Maizurah (kanan) memegang poster Raja Munirah sebagai tanda sokongan pembebasannya selepas solat hajat di surau Mutiara Damansara, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Wanita Jepun yang menetap di negara ini, Kaoru Kato, secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi jurubahasa dan perantara bagi membantu kes rayuan Raja Munirah Raja Iskandar Shah di Mahkamah Tinggi Jepun, Selasa ini.

Bapa kepada Raja Munirah, 22, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata, faktor bahasa dan budaya luar yang tidak dapat difahami oleh masyarakat Jepun menjadi penghalang kepada rakyat asing yang ditahan di negara itu untuk membela diri sendiri.

Jelasnya, Kato yang menetap bersama suaminya lebih lima tahun di Malaysia bersedia menerangkan kepada pihak-pihak berkenaan mengenai budaya dan cara hidup masyarakat Melayu Malaysia yang dijangka dapat membantu menyelesaikan kes rayuan tersebut.

Beliau difahamkan bahawa pendakwa raya dan hakim di negara itu tidak memahami bahasa dan budaya masyarakat Melayu Malaysia sehingga menyebabkan anak perempuannya itu terpaksa merengkok di penjara sudah hampir setahun.

Katanya, rakan-rakannya yang menganggotai Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) tahun 1972 turut menaja tiket penerbangan Kato ke negara matahari terbit itu.

Menurutnya, Kato akan menjelaskan mengenai budi bahasa orang Melayu, sikap orang Melayu, reaksi wajah, tabiat orang Melayu dan sebagainya.

‘‘Kehadiran Kato di Jepun amat penting kerana dia akan memberi penjelasan yang baik kepada mereka untuk difahami dan seterusnya membantu kes rayuan berkenaan.

‘‘Kami melantik Kato sebagai jurucakap di Jepun kerana dia paling memahami sikap orang Melayu di negara ini. Dia akan berjumpa dengan pendakwa raya dan peguam bela, esok memandangkan rayuan bagi mengetepikan hukuman yang disabitkan ke atasnya akan dilakukan pada Selasa ini,'' katanya yang baru pulang dari Sudan kerana bekerja di negara itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Membebaskan Raja Munirah di Surau Mutiara Damansara di sini hari ini.

Kempen itu dihadiri lebih 30 ahli Ansara dan rakan-rakan Raja Munirah.

Turut hadir dalam kempen itu ialah ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 48 dan empat orang adiknya; Raja Nazrin Shah, 18, Raja Maizurah, 15, Raja Ridzuan Shah dan Raja Daniel Shah, 3.

Raja Munirah kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo, Jepun setelah dihukum penjara tujuh tahun enam bulan oleh mahkamah di Jepun atas tuduhan cuba menyeludup beberapa paket syabu ke negara itu pada 20 Disember tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Penuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta itu mendakwa tidak bersalah kerana dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.

Ibu Raja Munirah, Karimah memberitahu, dia tidak sabar menantikan keputusan rayuan anak sulungnya itu, Selasa ini.

Katanya, dia berpuasa hampir setiap hari bermula hari pertama anak perempuannya dijatuhkan hukuman penjara.

‘‘Saya tidak putus-putus berdoa supaya anak saya dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan berharap dia dapat pulang ke sini,'' ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment