Saturday, November 10, 2007

Peguam harap diperoleh segera data SMS Raja Munirah

Utusan Malaysia - 10/11/2007

Oleh: NUR AZWA IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Peguam yang dilantik keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, yang kini meringkuk di penjara Jepun berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat memberi data khidmat pesanan ringkas (SMS) secepat mungkin bagi membolehkannya dibawa ke Jepun untuk menyokong rayuan kes tersebut pada 15 November ini.

Peguam, Rosal Azimin Ahmad berkata, data SMS itu adalah komunikasi sepanjang November dan Disember tahun lalu, antara Raja Munirah dengan Milad, lelaki Iran yang yang dipercayai memperdaya gadis tersebut.

Beliau berkata, jika pihak berkenaan gagal menyediakan data-data tersebut, maka pasukannya terpaksa menggunakan SMS yang terdapat dalam telefon Raja Munirah untuk dijadikan bukti namun itu tidak cukup kuat untuk membebaskannya.

Katanya, beliau akan bertolak ke Jepun pada malam 12 November ini dan berharap pihak MCMC dapat menyediakan data tersebut sebelum tarikh itu.

Beliau akan ditemani seorang pembantu dan dua orang wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) yang akan memantau dan mendokumentasikan rayuan kes Raja Munirah nanti.

“Sistem kehakiman di Jepun adalah berlainan dengan Malaysia di mana mereka akan menilai sesuatu kes berdasarkan kehadiran orang ramai untuk menyokong tertuduh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 46, di sini hari ini.

Sementara itu, aktivis sosial, Lim Ai Yim berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk membantu Raja Munirah.

Beliau juga ingin menasihatkan semua orang ramai supaya jangan mudah percaya kepada kata-kata individu yang menawarkan gaji lumayan untuk sekali gus menjadikan kes menimpa Raja Munirah sebagai satu pengajaran yang perlu diingati selama-lamanya.

Menurut Karimah pula, beliau sanggup bergolok gadai untuk membantu anaknya itu jika tidak mendapat sumbangan yang dijangkakan daripada orang ramai, individu atau syarikat-syarikat swasta.

“Kami tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana tiada Raja Munirah di sisi kami dan saya berharap dia dapat kembali ke pangkuan kami tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Rosal Azimin juga menjelaskan beliau dan Karimah baru membuat laporan rasmi kepada polis semalam, supaya pihak berkuasa menangkap lelaki Iran yang terbabit menjadi dalang dalam kes Raja Munirah itu.

Lelaki Iran itu dipercayai menyuruh Raja Munirah membawa sebuah beg berisi dadah syabu dan ditahan ketika melalui Lapangan terbang Narita, Tokyo.

Raja Munirah, lepasan jurusan Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di Cyberjaya, kini menjalani hukuman di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuke.

Beliau dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah atas tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 untuk mendapat hukuman ringan tetapi dijatuhkan hukuman tujuh tahun.

0 Comments:

Post a Comment