Thursday, November 8, 2007

Raja Munirah mungkin tidak dapat diselamatkan

Utusan Malaysia - 08/11/2007

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pelajar kolej swasta, Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, mungkin terpaksa merengkok dipenjara Jepun lebih tujuh tahun memandangkan maklumat serta data yang diperlukan untuk membela gadis tersebut di Mahkamah Tinggi Jepun masih belum diperoleh hingga kini.

Peguam yang dilantik keluarga gadis itu, Rosal Azimin Ahmad berkata, pihaknya belum memperoleh data khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperlukan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong rayuan gadis itu 15 November ini.

Tinggal sembilan hari sebelum Raja Munira membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan yang dijatuhkan ke atasnya.

“Bukti SMS itu sangat penting untuk membuktikan bahawa Raja Munirah tidak mengetahui mengenai dadah dalam begnya. Dia tiada niat menyeludup dadah. Dia sebenarnya teraniaya.

‘‘Permohonan lisan telah dibuat kepada MCMC. Namun, data itu belum diterima. Oleh itu, kami hantar surat rasmi kepada MCMC semalam dengan harapan akan memperoleh bukti SMS itu sebelum Isnin depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Rosal Azimin memberitahu, pihaknya berusaha memperoleh rekod data SMS telefon bimbit Raja Munirah.

Data SMS itu adalah komunikasi sepanjang November dan Disember tahun lalu antara Raja Munira dengan Milad, lelaki Iran yang yang dipercayai memperdaya gadis tersebut.

Raja Munirah, lepasan jurusan Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di Cyberjaya, kini menjalani hukuman di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuke.

Beliau dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 untuk mendapat hukuman ringan.

Menurut Rosal Azimin, data itu perlu diperoleh secepat mungkin kerana beliau akan ke Jepun 12 November ini untuk berbincang dengan dua peguam bela negara tersebut selain memantau keadaan Raja Munirah di penjara.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima sumbangan daripada orang ramai berjumlah tidak lebih RM6,000 sedangkan kos guaman yang diperlukan hampir RM300,000.

Justeru, demi masa depan gadis berkenaan, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pejabat guaman di talian 03-21645555.

0 Comments:

Post a Comment