Tuesday, November 6, 2007

SMS: Peguam minta bantuan suruhanjaya

Utusan Malaysia - 06/11/2007

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Peguam yang dilantik oleh keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, sedang berusaha mendapatkan data khidmat pesanan ringkas (SMS) membabitkan Raja Munirah dengan seorang lelaki Iran untuk digunakan dalam rayuan kes melibatkan gadis itu.

Data yang dikehendaki dari Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia itu adalah mesej melalui SMS yang dibuat Raja Munirah dan lelaki Iran yang dikenali sebagai Milad sepanjang bulan November dan Disember tahun lalu.

Peguam Rosal Azimin Ahmad berkata, data tersebut amat penting dalam rayuan Raja Munirah terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Jepun kerana cuba menyeludup beberapa peket dadah sintetik jenis syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Tambahnya, maklumat itu juga perlu diperoleh secepat mungkin kerana tarikh perbicaraan Raja Munirah di Mahkamah Tinggi Tokyo, Jepun semakin hampir iaitu pada 15 November ini.

‘‘Kami sudah membuat permohonan kepada Celcom dan maklum balas yang diterima memberitahu, data SMS diperlukan kami tiada lagi dalam simpanan mereka.

‘‘Kami juga dimaklumkan, data itu perlu diperoleh daripada Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia kerana Celcom hanya menyimpan data SMS selama enam bulan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Raja Munirah, pelajar jurusan Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di sini sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuke.

Beliau didapati bersalah kerana cuba menyeludup beberapa paket syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006.

Raja Munirah bagaimanapun mendakwa diperdaya oleh Milad yang memintanya membawa sebuah beg yang dibelikan oleh lelaki itu untuk melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.

Mahkamah Tinggi Tokyo menangguhkan 15 November depan untuk mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan itu.

Beliau diwakili oleh dua peguam tempatan negara tersebut yang dikenali sebagai Nishiguchi dan Harada untuk mengendalikan rayuannya.

Dalam pada itu, Rosal Azimin berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar berkenaan perkembangan Raja Munirah, Jumaat ini di pejabatnya di Tingkat 4, Wisma Central di sini.

Jelasnya, sidang akhbar yang turut disertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan memperjelaskan mengenai nasib menimpa Raja Munirah dan bantuan yang diperlukan gadis tersebut.

Menurut beliau, firma guamannya dan NGO terbabit berusaha mengumpulkan sebanyak RM300,000 bagi membiayai kos guaman Raja Munirah di Mahkamah Tinggi Tokyo, Jepun yang bermula minggu hadapan.

0 Comments:

Post a Comment