Friday, December 28, 2007

Raja Munirah minta bantuan MOSTI

Utusan Malaysia - 28/12/2007

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Satu permohonan dikemukakan oleh Raja Munirah Raja Iskandar Shah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperakui Cyber Security Malaysia adalah agensi di bawah kementerian itu.

Permohonan kepada menteri berkaitan, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dibuat melalui peguamnya, Rosal Azimin Ahmad bertujuan membolehkan satu data khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh melalui agensi itu diiktiraf sebagai barang kes dalam rayuannya di Mahkamah Agung di Jepun tidak lama lagi.

Sebelum ini, peguam telah mengemukakan SMS mengandungi komunikasi antara Raja Munirah, 22, dan Milad, seorang lelaki warga Iran dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi di Jepun tetapi ia ditolak.

Menurut Rosal Azimin, perakuan bertulis daripada MOSTI itu dijangka digunakan oleh peguam berkenaan dalam prosiding rayuan di Mahkamah Agung, April ini.

“Kami harap kementerian akan dapat membantu kerana dokumen perakuan itu penting bagi membuktikan kewujudan Milad dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rosal Azimin, kewujudan lelaki warga Iran itu penting kerana ia bukti utama yang dalam proses rayuan untuk membebaskan gadis tersebut daripada hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Dalam pada itu, beliau berkata, peguam Raja Munirah di Jepun, Shunji Miyake akan berjumpa gadis itu di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo dalam masa terdekat ini sebagai persiapan rayuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tersebut.

Perkenalan antara Raja Munirah dan Milad bermula kira-kira setahun lalu sebaik dia menamatkan pengajian Ijazah Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta manakala Milad menuntut di sebuah kolej di Cyberjaya.

0 Comments:

Post a Comment