Friday, December 28, 2007

Rakyat asing peralat wanita kita

Berita Harian - 28/12/2007

Oleh Amirullah Andi Nur

CEMERLANG: Syed Hamid menyampaikan Anugerah Usahawan Cemerlang kepada Pengerusi Eksekutif Federal Malay Holdings, Datuk Musa Ibrahim pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-16 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia di sini, semalam.

Dalang sindiket dadah antarabangsa beroperasi di Malaysia umpan gadis dengan kemewahan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 kes penyeludupan dadah membabitkan wanita muda Malaysia yang menjadi mangsa sindiket antarabangsa dikesan berlaku di luar negara sehingga kini termasuk di Amerika Selatan dan Australia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hamid Albar ketika mendedahkannya berkata hasil penelitiannya mendapati semua individu yang menjadi dalang kegiatan itu adalah rakyat asing yang beroperasi di negara ini.

Sambil mengakui perkembangan itu membimbangkan dan perlu dibendung segera, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera termasuk menyelidik tujuan sebenar rakyat asing terbabit memasuki negara ini.

"Kita perlu beri perhatian kepada golongan yang datang untuk melakukan jenayah atau memperdaya anak gadis kita dengan menjanjikan kekayaan dan kemewahan. Kita kena selidik semua ini kerana kebanyakan taiko (dalang) kegiatan ini adalah rakyat asing.

"Daripada kira-kira 50 kes yang saya sudah teliti, yang menjadi tauke adalah orang asing, manakala mangsa kebanyakannya berusia awal 20an," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera (PPIPBM) di sini semalam.

Beliau diminta mengulas beberapa kes wanita muda ditahan pihak berkuasa beberapa negara sepanjang tahun ini kerana disyaki terbabit menyeludup dadah.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata mengikut rekod jabatan itu, 33 gadis dan wanita Malaysia ditahan di luar negara sepanjang tahun ini kerana menyeludup bahan terlarang berkenaan.

Ada wanita terbabit sudah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman. Nasib wanita muda itu hanya diketahui selepas mereka menghubungi keluarga masing-masing dan kemudian didedahkan media.

Laporan media sebelum ini menyatakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan wanita muda negara untuk membawa dadah ke luar negara dikesan menabur wang dan kemewahan serta cinta palsu kepada mangsa.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata walaupun Malaysia mengamalkan dasar terbuka, ia perlu melaksanakan kawalan ketat bagi memastikan rakyat asing ke negara ini tidak mempunyai niat jahat.

Katanya, Wisma Putra menerusi pejabat perwakilan atau kedutaan sentiasa bersedia membantu mangsa penipuan dan berharap keluarga mereka menghubungi pihak terbabit segera.

"Kita sentiasa berhubung dengan mereka (mangsa sindiket penipuan) untuk membantu sedaya upaya. Kita menerima banyak laporan kes seperti di Australia, New Zealand, Venezuela, China dan India," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan usahawan termasuk ahli PPIPBM mendapatkan bantuan Wisma Putra bagi mencari peluang di luar negara.

"Ketika ini beberapa pejabat perwakilan seperti di London, New York dan beberapa bandar utama di China menyediakan kemudahan itu secara berpusat," katanya.

Menjawab soalan, Syed Hamid berkata pelantikan lebih ramai kaum Bumiputera dalam Kementerian Luar adalah amalan lama berdasarkan struktur perkhidmatan awam ketika itu.

"Kita mengalu-alukan pemohon bukan Bumiputera supaya memohon jawatan PTD (Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik) kementerian," katanya.

Syed Hamid juga berkata Malaysia bersedia menyerahkan jawatan Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) kepada Senegal pada Mac ini, selepas menerajuinya sejak empat tahun lalu.

0 Comments:

Post a Comment