Friday, December 28, 2007

Selidik tujuan sebenar kemasukan warga asing

Utusan Malaysia - 28/12/2007

Oleh THOMAS CHONG

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta pihak berkuasa berkaitan menyelidik tujuan sebenar rakyat asing ke negara ini bagi memastikan kehadiran mereka adalah secara sah dan bukan bertujuan menjalankan aktiviti jenayah.

Menurutnya, walaupun negara ini terbuka dan mengalu-alukan kedatangan warga asing tetapi kerajaan pada masa yang sama akan berusaha melindungi rakyat daripada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh segelintir rakyat asing yang bermasalah.

‘‘Walaupun jumlah rakyat asing yang bermasalah tidak banyak, tetapi pihak berkuasa negara ini khasnya polis dan Imigresen perlu memikirkan cara untuk memastikan kepentingan rakyat kita sentiasa dilindungi,'' katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut juga perlu diambil kerana lebih 50 rakyat Malaysia, kebanyakannya wanita muda telah ditahan di luar negara selepas diperalatkan warga asing untuk melakukan jenayah.

‘‘Daripada lebih 50 kes yang saya teliti, kebanyakan yang menjadi tauke (ketua jenayah) adalah orang asing.

‘‘Banyak daripada kes ini seperti yang berlaku di China, Australia, New Zealand, Venezuela dan banyak tempat lain juga membabitkan gadis-gadis muda yang terlibat dengan jenayah berkaitan dengan dadah,'' katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengilang Dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di sini hari ini.

Dalam dua kes baru-baru ini, Raja Munirah Raja Idris Shah, 22, dan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah di Tokyo, Jepun dan Guangzhou, China.

Syed Hamid bagaimanapun, mengakui pihaknya menghadapi masalah untuk mengesan sindiket-sindiket yang memperalatkan gadis-gadis tempatan ini kerana operasi mereka bukan berpusat di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutamanya wanita agar tidak mudah tertarik dengan pendapatan lumayan yang ditawarkan oleh orang asing sehingga menyebabkan diri mereka terjerat ke dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Mengenai nasib wanita-wanita yang ditahan di luar negara pula, Syed Hamid berkata, Kementerian Luar akan mengikuti perkembangan mereka dan bersedia memberikan bantuan yang sewajarnya.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan kononnya kerajaan menyekat penyertaan kaum bukan bumiputera untuk berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) di Wisma Putra.

Menurutnya, kerajaan sebaliknya menggalakkan rakyat pelbagai kaum mengisi jawatan-jawatan kosong, termasuk PTD yang disediakan dalam kementeriannya.

‘‘Fenomena di mana bilangan penjawat awam dari kaum bumiputera yang jauh mengatasi kaum lain tidak harus dilihat dalam aspek perkauman.

‘‘Keadaan ini sebaliknya disebabkan kaum bukan bumiputera lebih berminat untuk menyertai sektor swasta daripada menjadi penjawat awam,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas siaran satu surat pembaca oleh sebuah akhbar tempatan yang mendakwa kaum bumiputera diberikan peluang yang lebih luas untuk menjawat jawatan di Kementerian Luar berbanding kaum bukan bumiputera.

0 Comments:

Post a Comment