Tuesday, May 27, 2008

Rayuan Raja Munirah ditolak

Utusan Malaysia - 27/05/2008 Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 26 Mei – Impian Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 23, agar dibebaskan lebih awal daripada kesalahan menyeludup dadah ke Jepun berkecai apabila Mahkamah Agung negara itu menolak usulnya untuk mendapatkan kebenaran bagi rayuan terakhir terhadap hukuman penjara tujuh tahun empat bulan yang dihadapinya.

Bekas penuntut kolej swasta di Cyberjaya itu bagaimanapun hanya menjalani hukuman penjara enam tahun sembilan bulan selepas diberikan diskaun sebanyak 270 hari bermula tarikh tangkapan pada 20 Disember 2006.

Hukuman itu tidak termasuk denda sebanyak 1.5 juta yen (kira-kira RM50,000) yang turut dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Tokyo ketika dia mengaku bersalah kali pertama. Jika gagal membayarnya, dia dikenakan penjara tambahan sebanyak 250 hari lagi.

Dengan keputusan itu, Raja Munirah kekal merengkok di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo selepas Mahkamah Agung Jepun pada Selasa lalu menolak usulnya untuk mengemukakan rayuan terakhir.

Berita menyedihkan itu disampaikan oleh peguam Shunji Miyake yang mewakilinya di sana kepada peguam Rosal Azimin Ahmad yang dilantik bagi pihak keluarganya di sini.

Rosal Azimin ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini menjelaskan, keputusan mahkamah itu kekal dan tidak boleh dirayu lagi kerana negara tersebut tidak mempunyai Lembaga Pengampunan seperti di Malaysia.

Menurut beliau, bidang kuasa mahkamah juga tidak membolehkan mana-mana pihak mengemukakan permohonan di Mahkamah Agung (yang merupakan mahkamah tertinggi di negara itu) untuk menyemak keputusan mahkamah terdahulu.

“Bagaimanapun, Raja Munirah mungkin boleh meminta parol tetapi dia harus menghabiskan sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan hukuman penjara,” katanya di sini.

Ketika ditanya alasan mahkamah menolak usul gadis itu untuk merayu, Rosal Azimin memberitahu, mahkamah tersebut mendapati hujah peguam belanya hanya tertumpu kepada pelanggaran prosedur undang-undang, bukan terhadap hak dari segi perlembagaan.

Menurut beliau, hujah tersebut (pelanggaran prosedur undang-undang) bukan alasan yang kukuh yang menepati Perkara 405 Kanun Prosedur Jenayah Jepun bagi membolehkan Mahkamah Agung membuka ‘pintunya' untuk mendengar rayuan Raja Munirah.

Raja Munirah dalam afidavit rayuannya mengemukakan isu undang-undang melibatkan persoalan bahawa haknya telah dinafikan oleh Mahkamah Tinggi Tokyo ketika mendengar kesnya kali pertama.

Peguamnya turut berhujah bahawa peguam terdahulu yang mewakili Raja Munirah telah bertindak sendiri dengan memberi nasihat yang salah ketika menyuruh gadis itu mengaku atas kesalahan yang tidak dilakukannya bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Rosal Azimin ketika ditanya reaksi Raja Munirah menyatakan, gadis tersebut menerima dengan tabah walau sedih dengan keputusan mahkamah.

“Saya akan sentiasa kuat (ketika menjalani hukuman penjara) selagi ahli keluarga kuat menyokong saya,” ujarnya.

Sementara itu, Rosal Azimin berkata, beliau merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan Raja Munirah menjelaskan denda kira-kira RM50,000 bagi mengelakkan hukuman penjaranya bertambah 250 hari lagi.

Bekas penuntut kolej swasta itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam beg yang dibawanya.

Impian penuntut komunikasi massa itu untuk menghadiri temu duga jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) di Tokyo dengan gaji hampir RM10,000 sebulan bertukar ngeri apabila dia didakwa di Mahkamah Tinggi Tokyo kerana menyeludup dadah dan dipenjara tujuh tahun empat bulan.

Mahkamah yang sama bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari dengan memendekkan tempoh hukuman kepada tujuh tahun sebulan.

Raja Munirah dalam rayuannya mendakwa tidak mengetahui kandungan beg tersebut kerana ia dibeli oleh seorang rakan warganegara Iran, Milad untuk mengisi pakaian musim sejuk. Ia hanya diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum pesawat berlepas.

0 Comments:

Post a Comment