Tuesday, May 27, 2008
Harian Metro - 27/05/2007
Oleh Ahmad Fitri Che Musa
fitrimusa@hmetro.com.myKUALA LUMPUR: “Saya akan kuatkan semangat sekiranya keluarga saya juga berbuat begitu,” itu luahan Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 23, yang kecewa selepas dimaklumkan rayuan terakhir kesnya ditolak Mahkamah Agung Jepun, Selasa lalu.
Raja Munirah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, dekat Tokyo, selepas didapati bersalah cuba menyeludup dadah ke negara itu kira-kira satu setengah tahun lalu, didakwa mengikut Artikel 405 Kanun Prosedur Jenayah Jepun yang tidak membenarkannya mengemukakan sebarang rayuan lagi.Wanita itu yang meluahkan perasaan sedihnya kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Risa Kumano yang melawatnya Rabu lalu, kini perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sembilan bulan bermula sejak dia ditahan 20 Disember 2006.
Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, berkata anak guamnya akan dipindahkan ke penjara lain di luar Tokyo dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.Menurutnya, tempoh hukuman itu juga sudah mengambil kira pengurangan tempoh hukuman 50 hari yang diberikan Mahkamah Agung serta 220 hari yang masing-masing diputuskan mahkamah rendah di negara itu, sebelum ini.
“Raja Munirah juga dikehendaki membayar denda kira-kira RM40,000 dan sekiranya dia gagal membayar denda terbabit dalam masa tertentu, tempoh hukumannya akan ditambah 250 hari,” katanya.Ketika keputusan dibacakan, Raja Munirah tidak hadir berikutan penghakiman di mahkamah itu tidak membabitkan perbicaraan, tetapi memerlukan peguam memfailkan hujahan terlebih dahulu.
Dalam hujahan rayuan Raja Munirah yang difailkan di mahkamah itu 30 Mac lalu melalui peguam Shunji Miyake yang mewakilinya, dia mengemukakan isu undang-undang membabitkan persoalan bahawa haknya dinafikan Mahkamah Tinggi Tokyo ketika mendengar kesnya kali pertama.Miyake berhujah bahawa peguam terdahulu yang mewakili Raja Munirah bertindak sendiri dengan memberi nasihat yang salah ketika menyuruh gadis itu mengaku bersalah atas kesalahan yang tidak dilakukannya bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.
Bagaimanapun katanya, hakim Mahkamah Agung mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas mendapati kesalahan dilakukan pegawai pembelaan sebelum ini hanya membabitkan pelanggaran undang-undang prosedur dan bukan hak perlembagaan.Rosal Azimin berkata dia akan ke Jepun bersama bapa Raja Munirah untuk berbincang dengan peguam di sana mengenai usaha seterusnya yang dapat dilakukan untuk membantu Raja Munirah.
“Lagipun, saya difahamkan mungkin selepas beberapa tahun hukuman, Raja Munirah akan diberi pengampunan berikutan ini kesalahannya yang pertama, insya-Allah,” katanya.Sementara itu, bapa wanita terbabit, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata dia terkejut sebaik mengetahui keputusan rayuan itu selepas dimaklumkan Shunji melalui e-mel, Jumaat lalu kerana menyangka peluang anaknya bebas adalah cerah.
“Kami sekeluarga sedih dan kecewa dengan keputusan terbabit kerana percaya Raja Munirah tidak bersalah kerana dia dianiaya. Saya tidak faham dengan sistem kehakiman negara itu.“Ibunya pula menangis semalaman kerana terlalu sedih. Sekarang kami betul-betul rindukannya. Saya pasti Raja Munirah juga merindui kami berdasarkan surat yang dikirimnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Raja Iskandar berkata, selepas keputusan itu, dia belum menerima surat daripada Raja Munirah dan belum dapat bercakap atau bertemu anaknya, tetapi akan mengutus surat kepadanya secepat mungkin bagi mengetahui keadaan terkini wanita itu.Walaupun menyimpan hasrat untuk ke Jepun bertemu Raja Munirah, dia terpaksa menangguhkan rancangan itu atas sebab tertentu.
“Saya akan menjenguknya di sana, tetapi buat masa ini kami sekeluarga hanya dapat mengutus surat kepadanya.“Apapun saya anggap kejadian ini mempunyai hikmah tersendiri dan menjadi pengajaran kepada kami sekeluarga serta ibu bapa lain supaya mengambil tahu pergerakan anak mereka dan berhati-hati dengan sindiket dadah yang memperdaya wanita muda,” katanya.
Raja Iskandar berkata, dia dan isterinya tidak akan berputus asa, malah akan meneruskan usaha membebaskan anaknya dengan meminta nasihat peguam mengenai tindakan yang perlu dilakukan selanjutnya.“Kami sudah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan Raja Munirah, termasuk melantik sekumpulan peguam di Jepun dan negara ini dan kami tidak akan berhenti di sini,” katanya.
Mimpi ngeri penuntut komunikasi massa di sebuah kolej di Cyberjaya itu bermula selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam beg yang dibawanya.Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama ‘Milad' yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.
Rayuan awal Raja Munirah bagi mengenepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun sebulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.Labels: Harian Metro