Wednesday, December 12, 2007

Elak Malaysia jadi pusat lambakan dadah

Utusan Malaysia - 13/12/2007

Pendapat

TERDAPAT 53 kes penahanan rakyat Malaysia di luar negara berhubung kesalahan dadah yang dilaporkan sehingga bulan lalu. Ironinya, 72 peratus daripadanya membabitkan golongan wanita yang terperangkap dalam jerat percintaan serta tawaran kerja palsu.

Fenomena sosial yang membimbangkan ini adalah petunjuk jelas bahawa telah wujud rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara kita. Tambahan pula, kedudukan Malaysia terletak di kawasan yang dipanggil Segi Tiga Emas iaitu kawasan yang ‘subur' dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah di rantau Asia Tenggara membabitkan Burma, Laos dan Thailand. Dalam konteks benua Asia pula, negara kita berhadapan dengan ancaman lambakan dadah antarabangsa dari kawasan Bulan Sabit Emas di sekitar pedalaman Pakistan, Afghanistan dan Iran.

Kegiatan memproses dadah yang didalangi pihak luar turut disokong oleh segelintir rakyat kita pada masa ini. Ia bukan sahaja dibuat di kawasan terpencil sebaliknya sudah 'berani' beroperasi di kawasan ternakan, ladang, perumahan dan premis perniagaan.

Tidak dinafikan memang terdapat sebahagian kecil rakyat negara ini yang menjadi 'hantu' bersubahat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa lantaran mahu menjadi jutawan segera. Misalnya, terdapat dakwaan bahawa wujudnya kaitan seorang rakyat kita yang berpengaruh di Sabah dengan Raja Syabu Asia, Chin Soon Goon yang telah diberkas di Filipina pada 21 November lalu.

Oleh itu, kawasan sempadan negara melalui darat dan laut perlu dipantau secara berterusan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan supaya tidak mudah dibolosi oleh ejen-ejen penyeludupan dadah bertaraf global ini.

Memanglah mustahil untuk mengawal kawasan pantai sepanjang hampir 5,000 km tetapi mahu tidak mahu usaha bersepadu semua pihak penguatkuasaan mesti dilakukan.

Tidak harus dilupakan ialah peningkatan kawalan keselamatan di seluruh lapangan terbang antarabangsa di negara ini bagi menghalang golongan peniaga dadah antarabangsa bebas ‘terbang' masuk ke dalam negara ini.

Namun, pertambahan lebih ramai pegawai penguatkuasaan di kawasan sempadan tentu tidak menyumbang terhadap misi penting menyelamatkan bangsa dan negara ini sekiranya nilai integriti dan sikap amanah masih di takuk lama atau tidak dijadikan prinsip tugas.

Wajar juga disedari bahawa kerjasama antarabangsa dalam mengelakkan lebih ramai rakyat kita menjadi mangsa kapitalis dadah amatlah diperlukan. Ini kerana aktiviti pengedaran dadah bukan isu nasional di negara ini sahaja sebaliknya merupakan isu sejagat.

Nampaknya, Malaysia perlu menjadi pelopor kepada usaha tersebut jika negara ASEAN lain teragak-agak memulakannya. Begitu kukuhnya kita mempertahankan sempadan negara tentunya tidak membawa banyak erti tanpa disulami dengan kerjasama dan penyelarasan membabitkan negara-negara jiran serta masyarakat antarabangsa. Kualiti risikan dan siasatan pihak berkuasa Malaysia dengan negara-negara luar perlu dimantapkan dari semasa ke semasa kerana perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi kini begitu mudah disalah guna oleh dajal-dajal dadah antarabangsa ini.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan serta kedutaan negara di luar negara seharusnya konsisten memantau nasib rakyat kita yang ditahan di luar negara. Kementerian Penerangan dan Kementerian Luar misalnya perlu menyebarkan maklumat terhadap masyarakat terutama generasi muda berhubung penipuan ini.

Apa yang lebih penting, setiap daripada rakyat negara ini mesti memiliki jati diri yang kuat untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang janji manis tetapi palsu yang akan menggelapkan masa depan.

Nasib malang yang menimpa Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dan Raja Munirah Raja Iskandar, 22, seharusnya menjadi titik tolak kesedaran semua pihak untuk tidak menjadi mangsa penipuan seterusnya.

Hakikatnya, modus operandi aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa di negara ini perlu segera dicantas agar tidak melumpuhkan modal insan golongan muda Malaysia yang menjadi harapan negara masa depan.

– MOHD. ARIF ATAN,

Bukit Beruntung, Selangor.

0 Comments:

Post a Comment