Tuesday, December 11, 2007

Wanita perlu elak diri jadi 'keldai' sindiket edar dadah

Berita Harian - 11/12/2007

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

HATI-HATI: Waspada andai diminta membawa beg atau bungkusan orang lain.

Penganalisis jenayah minta gadis selidik dulu tawaran pekerjaan atau disuruh bawa barang oleh orang tidak dikenali

BERDASARKAN statistik polis, pada tahun ini saja, sebanyak 30 kes membabitkan wanita Malaysia di tahan di luar negara kerana menyeludup masuk dadah ke negara lain. Kes sama membabitkan rakyat Malaysia Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 dan Raja Munirah Raja Iskandar, 22.

Terbaru Jumaat lepas akhbar ini melaporkan Irene Manggi, 22 tahun ditahan polis Sao Paolo, Brazil kerana membawa kokain. Rakan mangsa yang didakwa `menjual' Tahun Melawat Malaysia dengan menawarkan Irene untuk menjadi pemandu pelancong. Irene di bawa ke luar negara dan hanya menyedari diperangkap sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas di tahan membawa bungkusan dadah.

Ketiga-tiga mangsa itu dikatakan terpedaya akibat helah sindiket yang mempergunakan mereka sebagai perantara atau pembawa bahan terlarang untuk masuk atau keluar ke sesebuah negara. Tidak kira rakyat tempatan atau orang asing, asal saja berpaksikan bahan terlarang, sudah pasti yang terperangkap menjadi mangsa.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim, berkata hakikatnya sindiket mempergunakan manusia sebagai mangsa, wujud dalam organisasi sendiri atau antarabangsa dan ia bukanlah sesuatu yang asing pada peringkat antarabangsa.

Katanya, sindiket mempergunakan kenalan, orang tidak upaya, gadis, ibu tunggal dan kanak-kanak, yang mana mereka digunakan bagi membawa keluar atau membawa masuk bahan terlarang khususnya dadah ke mana-mana negara bermula sejak manusia mengenali dadah.

“Kalau di rantau kita ia bermula sekitar 1950 iaitu selepas Perang Vietnam, membawa ke kawasan segi tiga emas di situ. Bermula dari situlah sindiket itu memikirkan bagaimana cara untuk menjual atau memasarkan bahan terlarang berkenaan.

“Dalam terminologi antarabangsa, mereka yang memasarkan digelar keldai dan dalam terminologi undang-undang mereka dikenali sebagai pembawa. Membabitkan keadaan sekarang ini, dan satu perkara yang pasti, membawa dadah adalah satu kesalahan serta mana-mana negara dan orang yang didapati bersalah, akan tertakluk pada undang-undang negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai sindiket dadah yang dikatakan memperalatkan wanita, antaranya kes Umi Azlim dan Raja Munirah yang menjadi perhatian banyak pihak. Umi Azlim dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke China. Beliau ditahan di China pada Januari lalu atas tuduhan membawa masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu dan dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu.

Raja Munirah pula ditahan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo juga atas tuduhan menyeludup dadah. Mahkamah Tinggi Tokyo bagaimanapun mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun tiga bulan dikenakan atas kesalahan cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo tahun lalu.

Sementara itu kedutaan Malaysia di Sao Paolo memaklumkan Irene dibicarakan November lalu, dan kini sedang menunggu keputusan hukuman.

Kamal berkata, yang menjadi masalah kepada kes seperti itu ialah apabila masyarakat dilingkari perasaan simpati kepada mangsa yang tertangkap. Secara peribadi, beliau juga mengakui bersimpati kepada ibu bapa wanita itu, tetapi secara realitinya masyarakat tidak boleh melihat mereka sebagai mangsa.

“Kita perlu menghormati keputusan setiap negara walaupun kita memiliki perasaan kasihan khususnya melihatkan keadaan ibu bapa mereka yang kesedihan, tetapi dari segi mangsa, sekiranya mereka kasihan kepada ibu bapa mereka, sudah tentu mereka tidak melakukan perkara berkenaan.

“Realitinya mana-mana mangsa tidak boleh dibantu kecuali berhubung dengan Wisma Putra. Mengeluarkan mangsa daripada tahanan adalah sesuatu yang tidak wujud. Kita perlu tahu perundangan setiap negara berbeza. Undang-undang juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang lebih tegas yang mana bukti digital tidak diterima sebagai bahan bukti. Di Jepun misalnya pengakuan bersalah adalah bersalah,” katanya.

Kamal berkata, sebagai pengajaran individu mungkin boleh mengelak ia daripada berlaku dengan menanamkan perasaan syak bila diarahkan membawa sesuatu khususnya ke luar negara, walaupun atas apa alasan termasuk kenalan rapat, pekerjaan, perasaan cinta, percaya dan sebagainya, seperti kata pepatah, jerat tidak pernah mengenal mangsa, ada kebenarannya.

“Mangsa selalunya tidak mengenal jerat walaupun hakikatnya jerat itu terlalu licik. Perkara sebegini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja kerana sindiket ini boleh `menjerat' menerusi rakan sosial, internet, kenalan rapat ataupun langsung tidak mengenali mangsa. Perlu kita sedari bahawa, sikap berhati-hati saja tidak boleh mengubah apa-apa, kerana seseorang itu mungkin sudah kabur dengan janji ditaburkan oleh kenalannya itu.

“Selidik tawaran kerja terlebih dulu dan apa yang pasti individu yang disuruh membawa sesuatu, terutama melepasi pemeriksaan Kastam kita perlu syak dan usah melakukan perkara berkenaan. Sekiranya individu berkenaan tahu akan membawa sesuatu ke sesuatu destinasi oleh orang yang dikenali, perlu menyiasat terlebih dulu barangan yang dibawa. Sekiranya tiba di lapangan terbang pula usah sesuka hati menolong rakan mengambil begnya. Kita perlu ada perasaan curiga mengelakkan berlaku sesuatu yang buruk melanda,” katanya yang menyatakan penyiasatan boleh dilakukan dengan membuat aduan kepada Rakan Cop.

Menerusi pengalamannya antara barangan larangan dibawa masuk menerusi kompartmen sulit dalam beg berkenaan. Sebagai contoh sekiranya beg berkenaan setebal 10 sentimeter, tetapi boleh dimuatkan hanya kedalaman lima sentimeter, sudah pasti ada sesuatu disorokkan dalam beg berkenaan.

“Brief case, beg sukan, dan beg pakaian antara beg yang digunakan `melindungi' bahan terlarang dalam bahagian tertentu seperti bahagian dasar dan sisinya. Sementara beg galas yang berkeadaan tebal dan menganjal apabila ditekan (seperti span) menunjukkan ada sesuatu yang disorokkan.

“Mungkin juga ada yang ditipu menyatakan herba, tetapi suka saya menyarankan supaya kita jangan bodoh sombong, kerana banyak pameran yang dijalankan oleh pihak kerajaan mengenai kenali dadah dan bahan terlarang, ambil tahu untuk mengenal dan elak diri daripada menjadi mangsa sindiket seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, budi bahasa rakyat negara ini kadangkala boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa dan realiti itu perlu kita sedari supaya ramai yang akan lebih berhati-hati.

Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan saranan untuk menyediakan dana semata-mata membantu mangsa seperti ini kerana ia adalah satu kesilapan besar.

Katanya, ia bukan saja tidak relevan sebaliknya satu pembaziran kepada duit rakyat dan paling penting sekiranya kita tidak menggemari negara lain mencampuri perundangan negara, kita juga perlu menghormati perundangan negara lain dengan tidak mencampurinya.

Katanya, berwaspada dan jangan mudah terpedaya adalah senjata utama, apatah lagi sindiket antarabangsa ini, akan terus mencari mangsa seterusnya.

“Ia tidak akan berhenti sebaliknya akan berterusan dan mungkin menggunakan taktik yang berlainan seperti memperalatkan golongan veteran, menerusi pakej percutian secara percuma, orang kurang upaya atau remaja dan sebagainya, kerana bagi mereka yang penting adalah pengedaran dadah itu, dan bukannya nyawa orang yang terbabit.

“Saya menyarankan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat laporkan kepada pihak berwajib. Ia bukan saja dapat membantu mengehadkan aktiviti yang mungkin mereka sedang jalankan, tetapi juga membantu mendapatkan maklumat yang sewajarnya.

“Pada masa sama pihak berwajib perlu menjalankan penguat kuasaan lebih kerap yang dijalankan secara efektif, pada masa sama menyaring kemasukan warga asing,” katanya.

INFO:

  • Hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 sekiranya anda tahu ada sebarang aktiviti mencurigakan.

  • Dapatkan maklumat terperinci sekiranya ditawarkan pekerjaan di luar negara kerana ia mungkin bertopengkan sindiket.

  • Rakan laman sembang, sosial dan teman rapat sendiri mungkin boleh menjadikan anda mangsa. Oleh itu berhati-hati sekiranya diminta membawa sesuatu ke mana-mana lokasi.

  • Jangan berbaik hati menawarkan khidmat pertolongan membawa bungkusan atau beg di mana-mana lokasi sama ada kaunter kastam dan sebagainya kerana ia mungkin satu perangkap. Anda perlu sentiasa beringat pepatah `perangkap tidak pernah mengenal mangsa' dan ia mungkin boleh berlaku kepada sesiapa saja.

0 Comments:

Post a Comment