Wednesday, December 12, 2007

Peniaga Jepun derma 20% pendapatan bantu Raja Munirah

Utusan Malaysia - 12/12/2007

Oleh RAHIM LAJIS

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Sepasang ahli perniagaan Jepun di sini hari ini melancarkan kempen membantu Raja Munirah Raja Iskandar dengan menyumbangkan 20 peratus daripada pendapatannya untuk yuran guaman membela rakyat Malaysia itu.

Takashi Kato dan isteri, Kaoru Kato berkata, mereka sanggup berbuat demikian kerana percaya model sambilan itu tidak bersalah, malah dianiaya oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi oleh rakyat asing.

“Kami tidak mengenali Raja Munirah secara peribadi tetapi terpanggil untuk membantunya kerana kami yakin dia bukan pengedar dadah. Banyak bukti yang menunjukkan dia sebenarnya telah ditipu,'' kata Takashi, 58, bekas setiausaha kepada Ahli Parlimen kawasan Tohukyu dekat Tokyo.

Isterinya, Kaoru, 52, pula berkata: “Polis Malaysia harus memburu anggota sindiket dadah itu. Jika tidak, setiap bulan atau mungkin setiap minggu ada lagi rakyat Malaysia yang akan menjadi mangsa mereka.”

Pasangan suami isteri itu sudah lebih lima tahun menetap di Malaysia dengan mengusahakan dua cawangan kedai kek dan fesyen moden Jepun, Opera Fashion Cafe di sini iaitu di Plaza Damas, Sri Hartamas (Tel: 03-62031671) dan di Kompleks Membeli-belah Bangsar Village, Bangsar Baru (Tel: 03-22835306).

Raja Munirah, 22, lulusan Ijazah Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di Cyberjaya kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Episod hitam hidup Raja Munirah bermula apabila Milad, pemuda Iran yang menuntut di sebuah universiti di Cyberjaya, menawarkannya jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) di Jepun dengan gaji hampir RM10,000 sebulan.

Dia diminta menghadiri temu duga di Tokyo seorang diri dan dibelikan sebuah beg besar untuk memuatkan pakaian musim sejuk.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah secara sukarela meminta kastam Jepun mengimbas begnya untuk mempercepatkan pemeriksaan. Bagaimanapun, 690.80 gram dadah jenis syabu didapati tersembunyi dalam ruang antara lapisan dinding dalam dan kulit beg itu.

“Kasihanilah Raja Munirah... bantulah dia. Apabila dibebaskan kelak, dia boleh membantu polis Malaysia dan Jepun untuk menumpaskan sindiket dadah itu supaya tiada lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa seumpamanya,'' kata Kaoru yang pernah dinobat sebagai pemain piano profesional nombor satu Jepun pada tahun 1990-an.

Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahannya dan hanya mengurangkan 100 hari hukuman penjara.

Raja Munirah memerlukan kira-kira RM20,000 untuk membiayai kos guaman mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung Jepun, April depan. Bagaimanapun, keluarga Raja Munirah sudah kehabisan semua wang simpanan dan terpaksa bergadai bagi menguruskan kesnya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghubungi bapa Raja Munirah, Raja Iskandar di 017-2672610 atau melalui akaun Bank Rakyat (220591222126) milik ibunya, Karimah Mamat.

0 Comments:

Post a Comment