Friday, December 14, 2007

Wanita kita kena penjara

Berita Harian - 14/12/2007

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Kes seludup ephedrine di Australia

Zuraida mengaku bersalah bawa masuk bahan utama buat syabu

KUALA LUMPUR: Wanita Malaysia, Zuraida Ghani, 41, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Brisbane, Australia, selepas mengaku bersalah menyeludup ephedrine seberat 3.7 kilogram, bahan utama membuat dadah amphetamine atau syabu ke negara itu, pada 8 Mac lalu.

Zuraida ditahan Polis Persekutuan Australia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane dari Kuala Lumpur sebaik polis menemui serbuk putih itu yang disembunyikan dalam beg pakaiannya.

Difahamkan, dengan kuantiti sebanyak itu, bahan berkenaan boleh menghasilkan bekalan dadah bernilai A$1 juta (RM2.9) juta mengikut harga pasaran Australia.

Pendakwa Raya Persekutuan Australia, Anthony Gett memberitahu mahkamah bahan kimia yang diseludup suspek mempunyai kualiti tinggi dan boleh diproses menjadi dadah seberat 5.2 kilogram.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Simon Lewis, menyangkal kenyataan itu dengan memberitahu wanita berkenaan hanya menerima tiket penerbangannya ke Australia sebagai upah untuk membawa serbuk dadah berkenaan.

Katanya, wanita itu menyedari membawa masuk barang yang menyalahi undang-undang negara, namun tidak menyangka ia adalah serbuk kimia untuk memproses dadah.

Hakim Mahkamah Tinggi Brisbane, Debbie Mullins kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Zuraida, dan mengarah beliau dibebaskan pada Mac 2010.

Pada 19 Januari lalu, wanita Malaysia, Umi Azlim Mohd Lazim, 24, dijatuhkan hukuman mati di Guangdong, China, kerana menyeludup dadah ke negara itu.

Pada Disember tahun lalu pula, Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, dihukum penjara tujuh tahun di Tokyo kerana menyeludup 690 gram dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

Difahamkan, Zuraida turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu mengimport bahan terlarang dalam jumlah yang banyak, namun beliau tidak membuat sebarang pengakuan dan ikat jamin setakat ini.

Jika sabit kesalahan, wanita itu bakal menghadapi hukuman penjara maksimum 25 tahun dan denda A$550,000 (RM1.5 juta).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, ketika dihubungi, di sini, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenainya dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Australia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Rekod JSJ Narkotik Bukit Aman memang menunjukkan namanya dalam senarai 33 gadis dan wanita Malaysia yang ditahan di luar negara sepanjang tahun ini kerana menyeludup dadah," katanya.

0 Comments:

Post a Comment