Sunday, December 2, 2007

Ahli Perniagaan Jepun Bantu Tangani Kes Raja Munirah

Bernama - 02/12/2007

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kes Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang kini merengkok di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo bukan sahaja mendapat perhatian rakyat negara ini tetapi juga rakyat negara Matahari Terbit itu.

Peguam bela Raja Munirah, Rosal Azimin Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini berkata seorang ahli perniagaan Jepun, Takashi Kato, 58, dan isterinya, Kaoru Kato, 52, secara sukarela menawarkan bantuan selepas dimaklumkan mengenai kes itu.

Katanya pasangan Kato, yang merupakan anak guamnya, bersetuju membantu apabila diberitahu bahawa gadis malang itu sebenarnya tidak bersalah.

"Saya memberitahu mereka mengenai kes berkenaan, dan turut memaklumkan Raja Munirah kini ditahan di Tokyo kerana dianiaya oleh rakannya.

"Mereka lantas bersetuju untuk membantu," katanya.

Ditanya mengenai bantuan yang diberi, Rosal berkata isteri Takashi, Kaoru telah menawarkan diri menjadi penterjemah dalam kes berkenaan memandangkan beliau fasih berbahasa Inggeris.

Kaoru telah dipertanggungjawab menterjemah segala butir-butir kes dan perbicaraan berkenaan memandangkan kes itu dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Jepun.

"Peguam Raja Munirah di Jepun, Nishiguchi juga tidak tahu berbahasa Inggeris. Tiada siapa yang fasih berbahasa Inggeris dalam kes ini," katanya.

Bernama diberitahu Kaoru bersama Nishiguchi akan menemui hakim terlibat Isnin ini bagi memberi keterangan terperinci berhubung kes berkenaan, selain menghadiri proses rayuan Raja Munirah di Mahkamah Tinggi Jepun.

Pada 15 Nov lalu, mahkamah yang sama telah menangguhkan rayuan Raja Munirah untuk mengenepikan hukuman yang disabitkan ke atasnya kepada 4 Dis bagi membolehkan syarikat telekomunikasi Celcom mendapatkan semula rekod data khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan masuk ke telefon bimbit Raja Munirah.

Ketika ditanya mengenai peluang Raja Munirah memenangi kes berkenaan, Rosal Azimin berkata walaupun ia diramalkan sebagai 50-50, namun segalanya berkemungkinan dalam dunia perundangan.

"Jika kita gagal di Mahkamah Tinggi, kita masih ada peluang di Mahkamah Rayuan. Apa yang pasti ialah kita akan berusaha sehabis baik kerana Raja Munirah tidak bersalah," katanya.

Takashi Kato merupakan seorang ahli perniagaan dari Tokyo yang mengusahakan perniagaan di Malaysia. Beliau memiliki tiga kedai kek di ibu negara sementara isterinya, Kaoru merupakan seorang suri rumah.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment