Wednesday, December 5, 2007

Raja Munirah akan kemuka bukti baru

Utusan Malaysia - 05/12/2007

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Beberapa bukti baru akan dikemukakan dalam notis rayuan yang dijadual difailkan ke Mahkamah Agung di Jepun pada 10 atau 11 Disember ini, dalam usaha membebaskan Raja Munirah Raja Iskandar daripada hukuman penjara.

Menurut bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abd. Aziz, 48, keluarganya dan peguam, Rosal Azimin Ahmad kini dalam proses menyenaraikan beberapa bukti baru bagi membantu kes anaknya itu untuk dikemukakan ke mahkamah tersebut.

‘‘Kami telah meminta supaya perbincangan diadakan antara peguam Raja Munirah dengan pihak mahkamah Jepun untuk memohon agar tempoh mengemukakan rayuan menerusi notis itu dapat dilanjutkan dari 10 hari yang diberi semalam.

‘‘Ia bagi memberi peluang kepada pihak kami untuk membuat beberapa persediaan bagi mengemukakan bukti-bukti tersebut.

‘‘Diharap bukti-bukti baru ini dapat membantu kami berhujah kenapa Raja Munirah boleh merayu untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan ke atasnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, rayuan pelajar Malaysia, Raja Munirah untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo. kerana cuba membawa masuk 690 gram dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Jepun.

Bagaimanapun, mahkamah yang sama mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari dengan memendekkan tempoh hukuman kepada tujuh tahun sebulan.

0 Comments:

Post a Comment