Wednesday, December 5, 2007

LAGI WARGA M'SIA SELUDUP DADAH DI LUAR NEGERI

Cyberita.asia1.com.sg - 05/12/2007

PASIR PUTEH: Hampir setahun tanpa khabar, akhirnya sebuah keluarga di sini menerima berita buruk bahawa anak perempuan sulung mereka ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.

Lebih memilukan lagi ialah kandungan sepucuk surat yang dialamatkan kepada Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, menyatakan bahawa Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 tahun, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou, China, pada 15 Mei lalu kerana menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu.

Ibunya, Cik Umi Slaia Ibrahim, 45 tahun, berkata anaknya diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

'Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan telah dijatuhi hukuman mati.

'Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama 'UG' sebaik tiba di Shantou, China, apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand),' katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk Umi Azlim di bagasinya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim baru beberapa bulan bekerja dengan sebuah syarikat menjual alat mengurut kaki milik seorang 'Datuk Anas' di Kuala Lumpur, selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi.

Bapanya, Encik Mohamad Lazim, 50 tahun, berkata Umi Azlim harapan keluarga serta anak yang baik dan rajin. Kesnya kini dirujukkan kepada Wisma Putra.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22 tahun, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan menyeludup dadah di Jepun dan kesnya kini sedang dirayu. -- Utusan Malaysia

0 Comments:

Post a Comment