Thursday, December 6, 2007

Harian Metro - 06/12/2007

KUALA LUMPUR: “Raja Munirah tidak mahu kami susah hati dengan perasaan sedihnya, sebab itu dia tidak kelihatan terkejut atau menunjukkan sebarang emosi pada kebanyakan masa sepanjang perbicaraan itu, semalam (kelmarin).

“Kami sebelum ini sudah menasihatkannya bersedia menerima apa jua keputusan rayuan kerana ada memberitahunya supaya tidak menaruh harapan tinggi dalam rayuan itu kerana tidak mahu dia kecewa,” kata bapa Raja Munirah, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48.

Raja Iskandar Shah mengulas reaksi anaknya ketika perbicaraan rayuan di Mahkamah Tinggi Tokyo, kelmarin yang menolak rayuan Raja Munirah dan hanya mengurangkan hukumannya selama 100 hari.

Sebelum ini lagi Raja Munirah sudah dimaklumkan peluang rayuannya di mahkamah itu tidak begitu tinggi berbanding rayuan seterusnya di Mahkamah Agung, nanti.

Katanya, dalam setiap surat yang dihantar mereka sekeluarga kepada Raja Munirah di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, sepanjang hampir setahun dia berada di Jepun, mereka sentiasa menasihatkan anaknya tabah dan bersabar menghadapi sebarang kemungkinan.

“Walaupun harapan Raja Munira untuk dibebaskan menggunung seperti dinyatakannya dalam ratusan surat dihantar, anak saya sebenarnya pasrah dengan keputusan berkenaan menyebabkan dia sudah lali dengan situasi genting seperti itu,” katanya.

Raja Iskandar juga menafikan dakwaan sesetengah pihak, termasuk laman blog di Internet yang mengatakan pemergian Raja Munirah ke Jepun sebelum ditahan tahun lalu adalah kerana keluarganya kesempitan wang.

“Cerita itu tidak benar kerana Raja Munirah tidak mempunyai masalah kewangan dan ketika itu saya masih mampu menyara keluarga kerana pendapatan saya sebagai pengarah projek di Sudan mencukupi.

“Malah, Raja Munirah juga mendapat biasiswa penuh daripada kolejnya dan turut dilantik menjadi duta kolej berkenaan selain aktif dalam kerja amal,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri pada mulanya berat melepaskan Raja Munirah ke Jepun berikutan itulah kali pertama anaknya ke luar negara berseorangan.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa akur permintaan Raja Munirah selepas anaknya bersungguh-sungguh mahu menimba pengalaman bekerja di sebuah agensi pelancongan di Jepun, tanpa mengetahui dia sebenarnya diperdaya lelaki Iran bernama Milad.

Bagi menjejaki Milad, Raja Iskandar berkata, dia akan meminta bantuan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan polis kerana mahu membuktikan bahawa Milad bukan individu yang direka keluarganya sebagai alasan Raja Munirah ditahan, sebaliknya lelaki terbabit memang menganiaya anaknya.

Pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan di Pusat Tahanan Kosuge, kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo.

0 Comments:

Post a Comment