Friday, December 7, 2007

Perlu RM20,000

Harian Metro - 07/12/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

KUALA LUMPUR: Keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah yang ditahan bersabit kes dadah di Tokyo, Jepun, tahun lalu, memohon bantuan dan sumbangan kewangan bagi menampung kos guaman bagi prosedur rayuan terakhir kes pelajar itu dalam tempoh 10 hari lagi.

Bapa wanita itu, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata keluarganya memerlukan sumbangan RM20,000 bagi membiayai kos guaman berikutan mereka kehabisan simpanan.

"Simpanan kami sudah habis untuk membayar kos guaman dan membiayai kos sampingan lain berkaitan kes anak saya sepanjang dia ditahan. Saya amat menghargai bantuan orang ramai.

"Peguam Jepun mengenakan caj tambahan disebabkan rayuan ini dipanjangkan kepada Mahkamah Agung pula. Dia juga menggunakan khidmat dua peguam lagi untuk membantunya," katanya.

Menurutnya, bagi perbicaraan rayuan kali ini, peguam terbabit akan mengkaji semula bukti yang ada selain menemuramah semula anaknya bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kes itu.

Raja Iskandar yang juga bekas pelajar Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Seremban berharap sesiapa yang sudi memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat milik isterinya, Karimah Mamat, 2205 9122 2126 atau menghubunginya di talian 017-2672610.

Raja Munirah, 22, (gambar) pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta kini menjalani hukuman penjara di Pusat Tahanan Kosuge di Jepun selepas didakwa cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu.

Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama 'Milad' yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

0 Comments:

Post a Comment