Friday, December 7, 2007

Majlis Peguam bela Umi Azlim, Munirah

Berita Harian - 07/12/2007

Oleh Amirullah Andi Nur

Bantuan khidmat guaman di China, Jepun diminta

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam akan membantu dua rakyat negara ini yang sedang ditahan di China dan Jepun, termasuk seorang sudah dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah di negara berkenaan baru-baru ini.

Naib Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata pihaknya akan menghubungi secepat mungkin rakan firma guaman mereka di dua negara terbabit bagi membantu Umi Azlim Mohamad Lazim dan Raja Munirah Raja Iskandar.

Katanya, keputusan itu diambil selaras dengan objektif persatuan itu untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, khususnya rakyat negara ini sama ada di dalam atau luar negara.

“Majlis Peguam akan membantu kedua-dua rakyat kita ini (Umi Azlim dan Raja Munirah) mengikut mana yang boleh dan sesuai, khususnya dari segi menyediakan khidmat guaman,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Umi Azlim, 24, dari Pasir Puteh, Kelantan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou, China atas kesalahan menyeludup 2,983 gram heroin pada 15 Mei lalu.

Dia yang ditahan atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu pada 19 Januari lalu, diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

Raja Munirah, 22, seorang pelajar swasta pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo, Jepun selepas disyaki membawa masuk 690 gram syabu pada tahun lalu.

Mahkamah Tinggi negara itu pada 4 Disember lalu menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan atas kesalahan berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kedua-dua keluarga wanita terbabit memohon bantuan untuk membebaskan mereka.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas isu membabitkan Umi Azlim dan Raja Munirah, berkata kerajaan sukar membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sama seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, setakat ini pihaknya masih belum dihubungi kedua-dua keluarga wanita terbabit bagi mendapatkan bantuan.

“Kita berharap keluarga kedua-dua wanita ini dapat menghubungi pejabat Majlis Peguam di talian 03-20313003, sama ada saya atau Rajan Devaraj bagi membolehkan urusan lanjut dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang ketika mengulas perkara itu, berkata pihaknya sedia membantu keluarga kedua-dua wanita terbabit.

Beliau berkata, setakat ini keluarga Umi Azlim dan Raja Munirah masih belum menghubungi pihaknya bagi memohon sebarang bantuan.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, kejadian membabitkan kedua-dua wanita terbabit seharusnya menjadi teladan kepada golongan muda di negara ini.

0 Comments:

Post a Comment