Wednesday, December 5, 2007

Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah

Berita Harian - 05/12/2007

KUALA LUMPUR: Sebuah Mahkamah Tinggi di Jepun semalam menolak rayuan pelajar Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar (gambar), bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo, tahun lalu.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, berkata mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.

Ketika dihubungi di sini, beliau berkata, mahkamah tidak menerima keterangan forensik siber iaitu laporan data khidmat pesanan ringkas (SMS), bagi mengetepikan semua SMS antara Raja Munirah dengan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya. Katanya, mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi, selain meragui kesahihan laporan data SMS terbabit.

Rosal Azimin berkata, beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu keputusan itu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari.

Raja Munirah, 22, pelajar bidang sebaran am di sebuah kolej swasta di Malaysia, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada 20 Disember tahun lalu. – Bernama

Dia mendakwa diperdaya Milad untuk membawa beg melepasi pusat pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya. Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.

Pada 15 November lalu, mahkamah menangguhkan rayuan Raja Munirah untuk mengetepikan hukuman yang disabitkan terhadapnya bagi membolehkan syarikat telekomunikasi mendapatkan semula rekod data SMS dan panggilan telefon bimbit Raja Munirah.

Kelmarin, hampir 40 rakan dan kenalan keluarga Raja Munirah mengadakan solat hajat dan kempen `Bebaskan Raja Munira' di Surau Mutiara Damansara di sini, bagi meraih perhatian serta sokongan orang ramai dan media terhadap kes itu.

Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja A Aziz, 48, berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa Raja Munirah tidak bersalah serta tidak mendapat peluang sepenuhnya untuk mempertahankan diri ketika ditahan, setahun lalu.

Raja Iskandar juga berkata, pasangan suami isteri warga Jepun, Takashi Kato, 58, dan Kaoru Kato, 52, yang membuka kafe di Sri Hartamas turut membantu keluarga dan peguam bela Raja Munirah bagi memastikan tiada salah faham berlaku antara pihak di Malaysia dengan Jepun. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment