Friday, December 7, 2007

Seorang lagi rakyat kita ditahan kes dadah asing

Berita Harian - 07/12/2007

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

Irine Manggi kena berkas polis Brazil atas tuduhan edar kokain

KUALA LUMPUR: Seorang lagi wanita tempatan kini dalam tahanan pihak berkuasa luar negara atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain di Brazil.

Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, Sarawak, dikatakan menjadi mangsa ejen pengedaran dadah antarabangsa yang mempergunakan gadis tempatan sebagai pembawa dadah, sama seperti apa yang didakwa berlaku ke atas dua wanita Malaysia di Jepun dan China.

Dia kini ditahan polis Sao Paolo dan menunggu nasibnya yang akan ditentukan mahkamah negara itu.

Pihak Kedutaan Malaysia di Brazil yang dihubungi Berita Harian malam tadi, mengesahkan penahanan itu.

“Kita mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra,” kata seorang pegawai kedutaan berkenaan.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran kes itu seperti tarikh sebenar ditahan dan didakwa di mahkamah dan meminta merujuk kepada Wisma Putra.

Pegawai Wisma Putra di sini yang dihubungi juga tidak dapat memberikan butiran sama.

Sementara itu, kakak mangsa, Lina berkata, adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 2007).

Lina mendakwa, adiknya ditipu atau dianiaya rakan sendiri yang menjadi ejen kepada satu sindiket dadah antarabangsa.

“Adik saya dan seorang lagi sepupunya ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong sempena TMM 2007.

“Entah bagaimana dengan begitu mudahnya, adik saya terpedaya dengan taktik sindiket itu. Saya yakin sindiket yang terbabit adalah dari kumpulan sama,” katanya dalam satu e-mel kepada TV3.

Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui Julai lalu, melalui sepupu mereka yang berjaya melepaskan diri.

Beliau berkata, pihak Kedutaan Malaysia di Brazil memaklumkan adiknya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.

Katanya, beliau bersama sepupunya yang berjaya melepaskan diri membuat satu laporan polis mengenai kes itu tetapi tiada tindakan susulan dibuat pihak berkenaan, walaupun nama, alamat dan maklumat orang yang terbabit sebagai ejen.

“Saya memohon bantuan dari Kerajaan Malaysia agar membantu kami sekeluarga dari segi guaman dan kos untuk melawat adik kami di Brazil.

“Yang kami inginkan hanyalah pembelaan atau keadilan untuk adik kami dan mangsa yang senasib dengannya,” katanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum ini mendedahkan ada 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

0 Comments:

Post a Comment